MA Analytics meterai MoU dengan 3 firma pertahanan Turki | DagangNews Skip to main content

MA Analytics meterai MoU dengan 3 firma pertahanan Turki

Wakil syarikat MA Analytics dan MKE ketika melakukan latihan dan demonstrasi penembakan di Lapang Sasar Konya, Turki.

 

 

KUALA LUMPUR 26 Ogos – MA Analytics Sdn Bhd memeterai memorandum persefahaman dengan tiga buah syarikat dari Turki bertujuan untuk bekerjasama dalam memajukan industri pertahanan negara pada Pameran Industri Pertahanan Antarabangsa (IDEF 2021) di Tuyap Fair, Turki baru-baru ini.

 

Tiga syarikat pertahanan dari Turki itu ialah Makina Kimya Endustrisi Kurumu (MKE), Katmerciler dan IVEO Defence.

 

MA Analytics merupakan syarikat tempatan yang terlibat di dalam bidang pertahanan, tenaga dan telekomunikasi.

 

Ia telah ditubuhkan hasil gabungan beberapa profesional muda dan inovatif di dalam bidang kejuruteraan, teknologi dan perakaunan dengan misi untuk menawarkan peralatan serta perkhidmatan berkualiti kepada agensi pertahanan dan awam di Malaysia.

 

Ketua Pegawai Eksekutif MA Analytics, Rasyad Anwar berkata, MoU tersebut bakal melibatkan kerjasama antara syarikat-syarikat berkenaan berhubung  sistem persenjataan, artileri dan kereta perisai.

 

Menurut beliau, ia juga akan melibatkan kerjasama di dalam mereka cipta, pembinaan dan pembekalan alatan persenjataan, artileri dan kereta perisai di Malaysia.

 

"Syarikat dari Turki akan memberikan bantuan teknikal dan perundingan, pembekalan bahan dokumentasi, teknologi, lesen, “know-how” dan peralatan, pembaikan, pemodenan dan bantuan selepas jualan kepada Malaysia dan juga usahasama di dalam bidang-bidang lain mengikut perundangan kedua-dua negara," katanya.

 

Beliau berkata demikian dalam kenyataan sempena pemeteraian MoU tersebut yang dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif MKE, Yasin Akdere, Timbalan Pengerusi Katmerciler, Mehmet Katmerci dan Ketua Pegawai Eksekutif IVEO Defence, Gokhan Erturan.

 

 

MA Analytics
RASHAD ANWAR (kiri) bersama 3 wakil syarikat gergasi pertahanan Turki sejurus selesai menandatangani memorandum persefahaman (MOU).

 


Rasyad berkata, walaupun dunia mengalami masalah ekonomi akibat COVID-19 tetapi Turki tetap melihat Malaysia sebagai rakan kongsi yang penting malah, kerjasama pertahanan ini menunjukkan keyakinan Turki terhadap Malaysia.

 

Beliau berkata, Turki terkenal sebagai negara yang sudi berkongsi pengetahuan dan teknologi menerusi program pemindahan teknologi (ToT) setiap kali pembelian aset ketenteraan dijalankan.

 

"Menerusi kerjasama ini, kebergantungan terhadap negara luar dapat dikurangkan menerusi pelbagai kursus yang bakal dilaksanakan. Di samping itu, peluang pekerjaan dapat ditingkatkan terutamanya kepada veteran tentera.

 

"Kami juga sedang merancang menjalinkan kerjasama dengan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan beberapa syarikat berkaitan dengan kerajaan agar manfaat daripada MoU ini bakal memberikan impak secara maksimum," katanya. – DagangNews.com