MAB, Malindo peroleh peruntukan ATR tertinggi Mavcom | DagangNews Skip to main content

MAB, Malindo peroleh peruntukan ATR tertinggi Mavcom

airlines

KUALA LUMPUR 13 Julai - Syarikat penerbangan Malaysia Airlines Berhad (MAB) dan Malindo Air (Malindo) menerima peruntukan tertinggi dalam Hak Trafik Udara (ATR) bagi tempoh separuh pertama 2020 oleh  Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom).

Menurut Mavcom, kedua-duanya memegang sebanyak 14 daripada 27 ATR yang diperuntukkan.

Jumlah itu diikuti oleh Kumpulan AirAsia Berhad (AirAsia) sebanyak enam dan AirAsia X (5). Dua lagi diperuntukkan kepada Raya Airways Sdn. Bhd. dan My Jet Xpress.

“Malaysia mencatatkan sebanyak 27% penurunan dalam permohonan ATR sepanjang tempoh berkenaan berbanding separuh pertama 2019. Jumlah permohonan bagi separuh pertama 2020 juga menurun sebanyak 74.3% berbanding tempoh sama bagi tahun sebelumnya.

“Dalam tempoh itu, Mavcom telah meluluskan sebanyak 27 permohonan iaitu bersamaan dengan 87.1% permohonan ATR yang diterima. Dua peruntukan ATR adalah untuk destinasi domestik, sementara 25 lagi untuk tujuan antarabangsa,” kata suruhanjaya tersebut dalam satu kenyataan hari ini.

Kelulusan bagi laluan antarabangsa terdiri daripada tujuh destinasi di China, Amsterdam (1), Auckland (1) dan 16 lagi di negara-negara Asia.

Dalam pada itu, 20 ATR peruntukkan untuk penerbangan daripada Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), dua daripada Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah dan lima daripada lapangan terbang Malaysia yang lain. 

Menurut Mavcom, terdapat 39 ATR telah diluluskan bagi tempoh sama tetapi tidak diguna oleh syarikat penerbangan.

“Kesemua ATR ini akan ditarik semula oleh Mavcom pada separuh kedua 2020. AirAsia mencatatkan jumlah ATR yang tidak diguna paling tinggi iaitu 17. 

"Ini diikuti oleh Malindo Air (15), Malaysia Airlines (5), FlyFirefly Sdn. Bhd. (1) dan Raya Airways (1),” katanya. 

Sementara itu, bagi meringankan beban pentadbiran syarikat penerbangan ketika COVID-19, Mavcom telah memansuhkan syarat untuk menarik semula ATR tidak terpakai dalam tempoh enam bulan dari tarikh kelulusan yang berlaku secara automatik.

Pelaksanaan yang bermula 5 Jun 2020 membolehkan syarikat penerbangan berjadual di Malaysia menyimpan portfolio ATR semasa untuk jangka masa yang tidak terhad sehingga terdapat pengumuman lanjut. - DagangNews.com