Ladang ternakan udang North Cube di Tawau, Sabah.
KUALA LUMPUR 2 Julai - MAG Holdings Berhad menyasarkan untuk muncul antara 3 pemain utama industri akuakultur di negara ini setelah bercadang mengambil alih 100% kepentingan dalam North Cube Sdn. Bhd. bernilai RM200 juta.
Malah, ia juga merupakan langkah pengambilalihan kedua buat MAG selepas Wakuba Farm sejak syarikat merancang untuk meneroka industri akuakultur.
Pengerusi Eksekutif MAG, Ng Min Lin berkata, cadangan pengambilalihan tersebut membolehkan MAG dan North Cuba memperluaskan pelan pengembangan sekali gus menjadi sebagai pemain utama dalam sektor ini di Malaysia.
Katanya, kedua-dua syarikat mempunyai gabungan 235 kolam pembiakan udang dan kilang pemprosesan yang akan mewujudkan sinergi ekonomi yang lebih besar kepada MAG.
"Memiliki kilang pemprosesan sendiri adalah integrasi penting dalam rantaian bekalan perniagaan akuakultur udang yang memberikan kelebihan kepada MAG dari segi operasi dan kos.
"Selain itu, kami juga meneroka untuk mengeluarkan produk nilai tambah dengan margin lebih baik melalui udang yang dibersihkan dan siap dimasak ke pasaran global," katanya dalam kenyataan.
Dalam mesyuarat agung luar biasa yang diadakan hari ini, resolusi MAG berhubung cadangan pengambilalihan itu menerima kelulusan 99.99% dari pemegang saham.
Pekeliling yang diedarkan kepada pemegang saham juga menunjukkan, pengambilalihan kepentingan North Cube akan dibuat menerusi pertimbangan tunai berjumlah RM60 juta, dengan terbitan 300 juta saham pada 20 sen sesaham dan 400 juta saham baharu boleh ditebus (RPS).
Ladang ternakan North Cube yang merangkumi 133 kolam pembiakan udang terletak di Tawau, Sabah.
Menerusi langkah pengambilalihan itu, kapasiti pembiakan udang MAG akan meningkat sehingga 4,000 tan metrik setahun, berbanding ketika ini, 2,000 tan metrik setahun.
Cadangan pengambilalihan ini juga disertakan dengan jaminan keuntungan tidak kurang daripada RM18 juta secara agregat dengan gabungan untuk tempoh kewangan 18 bulan yang berakhir pada 30 Jun 2022.
Pada Disember 2019, syarikat telah membeli kepentingan dalam Wakuba Farm, yang mana langkah itu memulihkan prestasi kewangan syarikat.
MAG mengalami kerugian selepas cukai sebanyak RM28.6 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2019, tetapi kembali mencatat keuntungan selepas cukai bagi tahun kewangan 2020 sebanyak RM8.4 juta disumbangkan menerusi Wakuba Farm.
Perolehan kumpulan juga meningkat kepada RM50.6 juta pada 2020, berbanding RM1.6 juta tahun sebelumnya. -DagangNews.com