Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 10 Jan - Syarikat pemaju hartanah Mah Sing Group Berhad (Mah Sing) dijangka melancarkan projek pembangunan bernilai RM2.4 bilion tahun ini selepas kejayaan mereka melancarkan produk bernilai RM1.4 bilion untuk tahun kewangan 2021 (FY21).
AmInvestment Bank Berhad (AmInvest) berkata, sebanyak 21 projek sedang dalam perancangan untuk dilancarkan di Lembah Klang merangkumi M Senyum di Sepang, M Astra di Setapak dan M Nova di Kepong.
Selain kawasan pembangunan strategik selain skim harga yang menarik mengikut permintaan pasaran, projek pembangunan Mah Sing tidak terjejas dengan banjir yang melanda negara ini.
Firma penyelidikan itu menjangkakan 60% produk mereka akan berharga di bawah RM500,000 dan 34% lagi berharga antara RM500,000 dan RM700,000.
Mah Sing juga sedang mengintai peluang untuk membangunkan projek perumahan baharu di beberapa negeri lain seperti Perak, Negeri Sembilan dan Melaka.
"Kekuatan jualan produk mereka adalah daripada pembangunan Siri M di Lembah Klang merangkumi produk seperti M Centura di Sentul, M Vertica di Cheras dan hartanah di M Aruna di Rawang yang menerima kadar pembelian sehingga 90%.
"Majoriti produk mereka berharga di bawah RM500,000 (51%) manakala 40% berharga antara RM500,000 hingga RM700,000.
"Strategi penawaran harga yang ditampilkan Mah Sing berjaya meraik minat pembeli rumah pertama yang berusia di bawah 35 tahun (66%)," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma penyelidikan itu berkata, sektor pembuatan sarung tangan getah mereka beroperasi pada kapasiti penuh dengan penghasilan 3.7 bilion sarung tangan setahun.
Syarikat itu juga berjaya mendapatkan pengiktirafan Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan Amerika Syarikat (FDA), Sijil Peraturan Peranti Perubatan Kesaruan Eropah (EU-MDR) dan Lesen Peranti Perubatan dan Kesihatan Kanada bagi membolehkan sarung tangan keluaran mereka di pasarkan di Amerika Syarikat, Kanada dan Kesatuan Eropah.
"Kami kekal positif terhadap unjuran jualan hartanah Mah Sing dan pengembangan kapasiti pembuatan sarung tangan yang akan menjadi model pemulihan perniagaan pantas untuk kumpulan itu.
"Harga jualan sarung tangan perubatan yang tinggi di pasaran utama juga akan menyokomg pendapatan kumpulan pada masa akan datang," katanya.
AmInvest mengekalkan saranan 'Beli' ke atas saham-saham Mah Sing dengan harga pasaran RM0.95 sesaham selepas mengambil kira pelbagai faktor dan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) tiga bintang. - DagangNews.com