Mahkamah Tinggi sahkan resolusi EGM Caely Holdings pada 15 Jun 2022 | DagangNews Skip to main content

Mahkamah Tinggi sahkan resolusi EGM Caely Holdings pada 15 Jun 2022

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 29 Ogos – Para rekuisi mesyuarat agung luar biasa (EGM) Caely Holdings Bhd telah memenangi tindakan undang-undang terhadap Caely hari ini, justeru EGM yang diadakan pada 15 Jun 2022 telah diisytiharkan sah.

 

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah memutuskan bahawa resolusi yang dijalankan semasa EGM 15 Jun 2022 adalah sah dan akan berkuat kuasa mulai tarikh tersebut.

 

Plaintif bagi tindakan undang-undang ini ialah Leong Seng Wui, Kok Kwang Lim dan Valhalla Capital Sdn Bhd. Manakala defendan ialah Caely Holdings Bhd.

 

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah meminta defendan untuk melakukan semua yang perlu untuk melaksanakan resolusi yang diluluskan semasa EGM tersebut.

 

Lembaga pengarah baharu kini sedang menunggu untuk merasmikan keputusan Mahkamah Tinggi sementara menunggu keputusan mahkamah dikeluarkan.

 

Sebagai imbasan, EGM telah diadakan pada 15 Jun 2022, di mana seluruh lembaga pengarah Caely kecuali Datin Fong Nyok Yoon telah disingkirkan.

 

Sementara itu dalam pemaklumannya di Bursa Malaysia, empat pengarah baharu dilantik ke lembaga pengarah Caely. Mereka ialah Leong Seng Wui, Dato’ Kang Chez Chiang, Ng Keok Chai dan Krishnan Dorairaju.


 

Leong Seng Wui
                             Leong Seng Wui

 


Leong juga merupakan pengarah eksekutif kumpulan semasa Green Packet Bhd.

 

Lembaga pengarah penyandang syarikat enggan mengiktiraf dan melaksanakan resolusi yang diluluskan semasa EGM dulu.

 

Oleh itu, pihak rekuisisi EGM telah memfailkan tindakan undang-undang terhadap Caely untuk antara lain memohon pengisytiharan bahawa EGM yang diteruskan telah diadakan dengan sah.

 

Para pemohon diwakili oleh Tetuan Ong Kok Bin & Co dan pasukan undang-undang diketuai oleh Eric Tan.

 

Ketika pasaran ditutup hari ini, saham Caely susut 1.64% kepada 30 sen sesaham, memberi nilai modal syarikat sebanyak RM76.22 juta. - DagangNews.com