Makin ramai langgan unifi | DagangNews Skip to main content

Makin ramai langgan unifi

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 8 Feb. - Bekerja dan pembelajaran dari rumah dalam kalangan pekerja serta pelajar mungkin mendorong peningkatan langganan unifi. 

 

CGS-CIMB Research meramalkan kebanyakan langganan baharu itu melibatkan pelan bernilai lebih rendah iaitu 30/100 Mbps, walaupun terdapat pengumpulan kandungan (+ RM60 / bulan) / Mesh WiFi (+ RM15 / bulan).

 

Selain itu, peningkatan ke pelan berkelajuan tinggi oleh beberapa pelanggan sedia ada mungkin membantu menyokong keseluruhan purata pendapatan bagi setiap pengguna (ARPU) unifi (3Q20: RM148).

 

“Telekom Malaysia Berhad (TM) akan mengeluarkan keputusan kewangan suku keempat 2020 (4Q20) pada 24 Februari ini. 

 

“Kami percaya langganan unifi 4Q20 akan menyaksikan pertumbuhan lebih kukuh berbanding catatan peningkatan bersih 3Q20 (meningkat lebih 97,000 langganan berbanding suku sebelumnya). 

 

“Susulan pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada pertengahan Oktober 2020, permintaan sepatutnya mencanak memandangkan pekerja dan pelajar masing-masing bekerja serta belajar dari rumah (dan bersedia untuk penggal persekolahan 2021),” jelas CGS-CIMB dalam nota kajiannya. 

 

Bagi penyediaan rangkaian internet lebih besar, CGS-CIMB percaya permintaan tertangguh mula berjalan dan mungkin menyaksikan permintaan sambungan gentian jalur lebar baharu yang baik pada suku tahun yang sama. 

 

Selain pertumbuhan internet yang mantap, CGS-CIMB turut menjangkakan hasil kewangan 4Q20 akan disumbangkan oleh keuntungan positif bermusim di mana melibatkan perkhidmatan suara, data dan lain-lain. 

 

“Oleh itu, kami percaya jumlah hasil 4Q20 akan melonjak antara 9% hingga 10% suku ke suku (menurun 2% hingga 3% tahun ke tahun) dan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) menokok 7% hingga 8% suku ke suku (meningkat 11% hingga 13% tahun ke tahun).

 

“TM mungkin mencatatkan pendapatan sebelum faedah dan cukai RM1.7 bilion bagi tahun kewangan 2020 (FY20), melebihi sasaran kumpulan syarikat itu antara RM1.3 bilion hingga RM1.5 bilion,” tambah firma penyelidik itu.

 

CGS-CIMB mengekalkan saranan ‘tambah’ saham TM dengan harga sasaran (TP) dinaikkan kepada RM7.00. 

 

“Kami ketika ini menganggarkan nisbah pembayaran dividen 60% bagi FY20 sehingga FY22, dividen sesaham antara 17.3 hingga 21.6 sen, sejajar dasar dividen TM.

 

“Namun, kami percaya kumpulan syarikat itu mempunyai kapasiti untuk membayar lebih memandangkan hutang bersih menyusut daripada 1.2x pada penghujung FY20 kepada 0.9x pada penghujung FY22,” ulas CGS-CIMB lanjut.

 

Setakat 10.54 pagi, nilai saham TM 19 sen kepada RM6.49 daripada paras yang ditutup pada minggu lalu, RM6.30. - DagangNews.com