KUALA LUMPUR 2 Sept - Risiko makroekonomi selain persekitaran geopolitik menjadi tumpuan utama kepada pelabur sebelum melihat prospek pelaburan untuk aset berisiko tinggi.
RHB Research dalam nota kajiannya berkata, sukar untuk menentukan prospek bagi 2023 kerana ia tidak memberikan sebarang petunjuk jelas membuatkan pelabur tidak mempunyai panduan yang jelas.
Pada masa sama, firma itu berkata, pembentangan Bajet 2023 juga merupakan perkara penting untuk dilihat sama ada berlaku sebarang pertambahan cukai untuk sektor swasta.
"Dana pelaburan domestik seharusnya memberikan tawaran menarik untuk mengatasi segala kelemahan," katanya.
Firma itu berkata, bagi suku sebelum ini, lima sektor merangkumi automotif, bank, institusi kewangan bukan bank, hartanah dan pengguna berjaya mencapai unjuran manakala lima sektor lagi gagal mencapai unjuran termasuk pembinaan, penjagaan kesihatan, utiliti, produk getah dan bahan asas.
Katanya, sektor lain yang diberi penaran 'overweight' termasuk perladangan, minyak dan gas dan telekomunikasi.
"Tekanan kos dan impak kekurangan tenaga pekerja terus membuat sesetengah sektor merasai kesannya.
"Secara keseluruhan, keuntungan bersih FY22 diunjur tidak berubah manakala FY23 naik 0.3% mengikut anggaran peningkatan daripada bank dan diimbangi oleh sektor rekreasi serta bahan asas.
Firma itu mengekalkan penarafan 'overweight' bagi sektor bank, institusi kewangan bukan bank, minyak dan gas, bahan asas, permainan serta teknologi. - DagangNews.com