Malacca Securities jangka cawangan Optimax kembali beroperasi seperti sebelum pandemik COVID-19 | DagangNews Skip to main content

Malacca Securities jangka cawangan Optimax kembali beroperasi seperti sebelum pandemik COVID-19

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 Ogos - Malacca Securities menjangkakan kebanyakan cawangan Optimax Holdings Berhad kembali beroperasi seperti sebelum bermula COVID-19 didorong pembukaan semula semua sektor ekonomi di negara ini.

 

Firma itu berkata, kumpulan itu menjangkakan klinik satelit pertama di Taman Sutera, Skudai dan pusat jagaan ambulatori (ACC) di Bahau, Negeri Sembilan mula beroperasi menjelang September 2022.

 

Katanya, pakar bedah yang kini berada di ACC Seremban akan ditempatkan di cawangan Bahau.

 

"Bagaimanapun kumpulan itu masih berdepan beberapa risiko termasuk kekurangan pakar bedah mata untuk cawangan ACC dan hospital pakar mata baharu mereka.

 

"Selain itu, persekitaran pasca COVID-19 kekal tidak menentu apabila imuniti berkurangan dan kemunculan varian baharu boleh mengakibatkan sekatan pergerakan dan penangguhan pembedahan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Pada 30 Mei 2022, Optimax memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Sena Resources Sdn. Bhd. dan Kempas Eye Specialist Hospital Sdn. Bhd. (KESH) yang menyaksikan KESH akan membina sebuah hospital mata dan menyewakannya kepada kumpulan itu. 

 

Hospital pakar mata yang dijangka beroperasi menjelang 2024 akan membolehkan Optimax mengembangkan perkhidmatannya di kawasan wilayah selatan Semenanjung Malaysia.

 

Firma itu berkata, hospital pakar mata itu akan memanfaatkan kehadiran klinik satelit dan ACC Optimax yang terletak di Johor Bahru, Muar, Kluang dan Segamat yang menyediakan perkhidmatan rawatan susulan kepada pesakit mereka.

 

"Ia dijangka untuk memenuhi peningkatan permintaan untuk perkhidmatan rawatan mata dari negara jiran seperti Singapura dan Indonesia, khususnya berikutan pembinaan dan pelancaran Sistem Transit Rapid Singapura-Johor Bahru," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'beli' untuk Optimax dengan harga sasaran (TP)RM1.04 berbanding 94 sen. - DagangNews.com