Malacca Securities jangka permintaan telur ayam untuk pasaran domestik, antarabangsa kekal stabil | DagangNews Skip to main content

Malacca Securities jangka permintaan telur ayam untuk pasaran domestik, antarabangsa kekal stabil

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 17 Ogos - Malacca Securities menjangkakan permintaan untuk telur ayam kekal stabil untuk pasaran domestik dan antarabangsa.

 

Firma itu berkata, bagaimanapun cabaran pengeluaran akan kekal dengan harga makanan ayam terus meningkat selain Teo Seng Capital Berhad perlu berhadapan dengan pelaksanaan skim kawalan harga.

 

"Walaupun harga komoditi semakin menurun dan dijangka terus menurun menjelang hujung tahun 2022, kami kekal berhati-hati dengan prospek kumpulan selepas mengambil kira kedudukan margin keuntungan sekiranya berlaku kenaikan harga makanan bagi haiwan ternakan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, secara purata harga telur ayam Gred C meningkat sebanyak 41.7% dari tahun ke tahun pada 2QFY22 kepada purata RM0.35, membolehkan pengeluar telur menyerahkan sebahagian kos makanan ayam yang melambung tinggi kepada pengguna akhir.

 

Katanya, walaupun peningkatan tersebut seharusnya meningkatkan hasil kumpulan dan segmen penternakan ayam namun segmen berkenaan masih masih mencatatkan kerugian kerana kenaikan itu dihadkan di bawah skim kawalan harga kerajaan.

 

"Dari segi kos, harga kacang soya dan jagung terus mencatatkan kenaikan dari suku ke suku didorong oleh gangguan bekalan akibat konflik Rusia-Ukraine, kenaikan harga baja global serta peningkatan kos pengangkutan.

 

"Perkara itu terus menjadi penyumbang kepada kenaikan harga makanan haiwan ternakan ditambah dengan skim harga kawalan menyebabkan margin keuntunngan kumpulan terkesan.


"Kami menjangkakan harga telur ayam akan kekal sekitar RM0.37 bagi Gred C kerana harga siling yang lebih tinggi telah dilaksanakan di bawah skim kawalan harga kerajaan berkuat kuasa mulai 1 Julai 2022," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'pegang' daripada 'jual' dengan harga sasaran 82 sen. - DagangNews.com