Malacca Securities menilai Solar District Cooling Group yang bakal disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 53 sen | DagangNews Skip to main content

Malacca Securities menilai Solar District Cooling Group yang bakal disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 53 sen

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 2 Sept - Malacca Securities memberikan harga wajar 53 sen terhadap Solar District Cooling Group Bhd yang akan disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 19 September 2024.

 

Saranan itu adalah berdasarkan kepada nisbah harga kepada pendapatan (P/E) sebanyak 27x daripada pendapatan sesahamnya sebanyak 1.95 sen bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025.

 

Katanya, P/E sebanyak 27x adalah adil, memandangkan purata P/E rakan setara terdekat berada pada 27.2x.

 

Diperbadankan pada 2008, Solar District Cooling Group terlibat dalam penyediaan dan penyelenggaraan sistem pengurusan bangunan (BMS), sistem haba suria, dan perkhidmatan penjimatan tenaga, serta penyelenggaraan sistem dan peralatan lain.

 

"Kami mengunjurkan hasil kumpulan berkembang antara 5.3% hingga 16.9%, mencecah RM28 juta hingga RM35.5 juta pada FY24-FY26.

 

"Untung bersih terasnya dijangka meningkat sebanyak 8.4% hingga 19.2% kepada RM6.9 juta hingga RM8.9 juta disokong pertumbuhan keseluruhan dalam perbelanjaan modal," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, sehingga tarikh praktik terkini, kumpulan itu mempunyai lebih daripada 10 projek berterusan dalam BMS dan sistem terma suria, dengan nilai kontrak berjumlah RM47.1 juta.

 

Buku pesanan yang belum dibilkan berjumlah RM16.5 juta untuk FY24 dan RM6.1 juta untuk FY25, memberikan keterlihatan pendapatan dalam jangka masa terdekat.

 

Kumpulan itu secara konsisten meningkatkan margin keuntungannya, dengan margin untung bersih meningkat daripada 13.49% pada FY20 kepada 23.83% pada FY23, dan kini berada pada 20.24% pada 2024

 

"Ini mencerminkan kuasa penetapan harga kumpulan yang kukuh dan pengurusan kos yang berkesan. Memandang ke hadapan, kami menjangkakan margin kekal stabil sejajar dengan pandangan positif kumpulan," katanya.

 

Solar District Cooling Group menyasarkan untuk mengumpul RM45.09 juta daripada pelaksanaan tawaran awam permulaan (IPO), menjelang penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia.

 

IPO berharga 38 sen sesaham, membabitkan terbitan awam sebanyak 118.67 juta saham baharu.- DagangNews.com