KUALA LUMPUR 12 Dis - Malacca Securities optimis dengan prospek OSK Holdings Berhad terutama dalam segmen pembangunan hartanah dan perniagaan pembiayaan modal.
Pada masa sama, firma itu berkeyakinan bahawa segmen itu akan terus stabil manakala segmen hospitaliti akan terus kekal mencatatkan keuntungan dan memiliki masa depan yang positif.
"Kami percaya bawaha adalah sesuatu yang biasa semasa musim pilihan raya dengan bakal pembeli hartanah mengambil pendekatan tunggu dan lihat kesan daripada ketidakstabilan politik yang menujurus ke arah pembentangan semula Bajet 2023 ( potensi semakan semula untuk sektor hartanah).
"Bagaimanapun, kami menganggap jumlah jualan hartanah FY22 mungkin mengatasi angka yang dilaporkan pada FY21," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma itu berkata, kumpulan itu menyasarkan pelancaran hartanah baharu dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM1 bilion.
Katanya, pembangunan itu terdiri daripada projek campuran melibatkan dua perbandaran sedia ada mereka yang terletak di Sg. Petani dan Seremban serta beberapa projek kediaman bertingkat di seluruh Lembah Klang.
"Selepas memperoleh kira-kira 36 hektar tanah dengan jumlah RM41 juta, kumpulan itu juga akan terus aktif dalam aktiviti penambahan semula bank tanah mereka, dengan fokus pada tanah bersebelahan dengan dua perbandaran mereka," katanya.
Firma itu berkata, pembukaan semula aktiviti ekonomi membolehkan sektor pelancongan membangun dan segmen hospitaliti kumpulan kembali mencatatkan keuntungan pada 3QFY22.
Firma itu menjangkakan kadar penghunian akan kekal agak stabil, didorong oleh musim perayaan akhir tahun, manakala pergerakan penumpang di lapangan terbang yang bertambah baik pada 9MFY22 dan kehadiran lebih 35.2 juta penumpang memberi petanda baik bagi sektor pelancongan.
"Kami mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) tidak berubah RM1.41 sesaham," katanya. - DagangNews.com