Malakoff, KPDRM meterai kerjasama terokai projek sistem panel tenaga solar  | DagangNews Skip to main content

Malakoff, KPDRM meterai kerjasama terokai projek sistem panel tenaga solar 

Gambar hiasan

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 30 Julai - Malakoff Corporation Berhad (Malakoff) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Koperasi Polis Diraja Malaysia Berhad (KPDRM) bagi menerokai pembangunan bersama projek sistem panel tenaga solar atas bumbung di bangunan PDRM yang terpilih di Semenanjung Malaysia. 

 

Kerjasama itu dilakukan di bawah Skim Pemeteran Tenaga Bersih 3.0 atau untuk kegunaan sendiri, di mana tenaga elektrik yang dijana daripada tenaga solar akan dibekalkan kepada PDRM di bawah Perjanjian Pembelian Tenaga Solar jangka panjang. 

 

Tenaga yang dihasilkan daripada projek solar atas bumbung itu akan berada pada tarif yang lebih rendah daripada tarif elektrik dari grid nasional, sekali gus berpotensi memberikan penjimatan kos tenaga kepada PDRM. 

 

Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Malakoff, Anwar Syahrin Abdul Ajib berkata, kerjasama dengan KPDRM merupakan satu lagi kejayaan bagi pengembangan Malakoff dalam segmen tenaga boleh diperbaharui ketika kumpulan memulakan transformasi ke arah status bebas karbon menjelang 2050. 

 

"Memandangkan sektor tenaga boleh diperbaharui di Malaysia dijangka menyumbang 31% daripada campuran kapasiti menjelang 2025, Malakoff menyasarkan untuk berada di barisan hadapan dalam peralihan negara ke arah tenaga lestari berdasarkan prestasi kami yang telah terbukti di dalam bidang teknikal dan komersial. 

 

Anwar Syahrin Abdul Ajib
Anwar Syahrin Abdul Ajib

 

“Sehingga kini, kami telah berjaya memperolehi projek solar atas bumbung  dengan kapasiti kesuluruhan 22.32 MW bersama beberapa syarikat bereputasi dan kami akan terus meneroka potensi bidang ini bersama rakan strategik seperti PDRM.

 

"Kami menyokong matlamat kemampanan PDRM melalui penggunaan tenaga hijau yang boleh diperbaharui sebagai inisiatif dalam menyokong sasaran tenaga boleh diperbaharui kerajaan. Kami akan berpegang teguh dan meneruskan inisiatif kelestarian kami untuk memberikan manfaat kepada  pihak berkepentingan dalam jangka masa panjang," katanya dalam satu kenyataan.

 

Malakoff baru-baru ini memperoleh enam projek solar atas bumbung dengan kumpulan DRB-HICOM selain kerjasamanya dengan pengendali pusat membeli-belah terbesar negara, AEON Co. (M) Berhad  dan pemain industri logistik terkenal seperti Northport (Malaysia) Bhd, Johor Port Berhad dan Pos Malaysia Berhad. 

 

Apabila digabungkan, kesemua projek itu akan menjana 33,243 MWj setahun dan meneutralkan 23,070 tan pelepasan karbon setahun. 

 

Pengembangan Malakoff melalui segmen solar adalah sebahagian daripada agenda transformasi kumpulan yang sejajar dengan 17 Objektif Pembangunan Kelestarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mencapai neutraliti karbon dan sifar bersih pelepasan karbon menjelang 2050. 

 

Malakoff merupakan sebuah syarikat jana tenaga dan air bebas di mana fokus utamanya adalah kepada penjanaan tenaga elektrik, penyulingan air dan perkhidmatan operasi serta penyelenggaraan.  


Di Malaysia, Malakoff merupakan penjana tenaga bebas terbesar dengan janaan tenaga bersih sebanyak 5,836 MW daripada tujuh loji janakuasanya. - DagangNews.com