KUALA LUMPUR 5 Ogos - Malaysia Airlines dan Air Mauritius mengumumkan pengembalian semula perkongsian kod penerbangan antara kedua-dua syarikat itu yang akan meningkatkan pilihan perjalanan penumpang ke Malaysia, Asia, Australia dan Afrika.
Dalam kenyataan media bersama, kedua-dua syarikat penerbangan itu berhasrat untuk meningkatkan kemudahan bagi penumpang melalui perkongisan kod penerbangan itu.
Menurutnya, penumpang boleh memanfaatkan perjalanan lancar dan menikmati sambungan mudah ditawarkan di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KUL) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Sir Seewoosagur Ramgoolam (MRU).
Di samping itu, pelanggan Malaysia Airlines akan menikmati akses kepada rangkaian yang lebih luas termasuk penerbangan terus dari KUL ke MRU.
Sementara itu, Air Mauritius akan berkongsi kod penerbangan domestik Malaysia Airlines ke Langkawi, Pulau Pinang, Kota Bharu, Kuantan dan Johor Bahru, serta peluang untuk menyambung ke pelbagai destinasi antarabangsa melalui hab KUL.
Ketua Pegawai Eksekutif dari Malaysia Aviation Group (MAG), Ahmad Luqman Mohd Azmi berkata, kesinambungan kod perkongsian penerbangan bersama Air Mauritius adalah penting bagi mengembangkan rangkaian penerbangan Malaysia Airlines.
“Langkah strategik ini penting dalam mengukuhkan kedudukan Malaysia Airlines sebagai pintu masuk ke serta menyediakan akses yang lancar,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Air Mauritius, Charles Cartier pula berkata, keputusan mengaktifkan semula kerjasamanya dengan Malaysia Airlines akan menawarkan penumpang kami sambungan ke pelbagai destinasi di seluruh Asia dan Australia melalui hab Kuala Lumpur.
“Selain daripada menikmati pengalaman di negara kami, penumpang dari Malaysia dapat memanfaatkan kemudahan untuk menyambung ke Rodrigues, Reunion dan Afrika Selatan melalui hab kami,” ujarnya- DagangNews.com