Malaysia Airlines akan peroleh 20 A33neo menerusi program pembaharuan kapal terbangnya | DagangNews Skip to main content

Malaysia Airlines akan peroleh 20 A33neo menerusi program pembaharuan kapal terbangnya

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 15 Ogos - Malaysia Aviation Group (MAG) iaitu syarikat induk Malaysia Airlines memilih A330neo untuk program pembaharuan badan kapal terbang syarikat penerbangan itu.

 

Perjanjian awal meliputi pemerolehan 20 pesawat, dengan 10 akan dibeli daripada Airbus dan 10 akan dipajak dari Avolon yang berpangkalan di Dublin.

 

Perjanjian itu diumumkan dalam satu majlis yang dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif MAG, Izham Ismail dan Ketua Pegawai Komersil Airbus dan Ketua Antarabangsa, Christian Scherer, yang turut menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi tempahan pesawat kepada Airbus. 

 

Perjanjian itu meliputi bersama pengeluar enjin Rolls-Royce dan Avolon turut dimeterai pada majlis tersebut.

 

Dikuasakan oleh enjin Rolls-Royce Trent 7000 terbaharu, A330neo akan menyertai armada pengangkut enam A350-900s jarak jauh dan secara beransur-ansur menggantikan 21 pesawat A330ceonya.

 

Syarikat penerbangan itu akan mengendalikan A330neo pada rangkaiannya meliputi Asia, Pasifik dan Asia Barat.

 

Malaysia Airlines akan menggunakan A330neonya dengan susun atur premium menempatkan 300 penumpang dalam dua kelas.

 

Izham Ismail berkata, pemerolehan A330neo adalah peralihan daripada armada A330ceo sedia ada dan pesawat A330neo bukan sahaja akan menjadikannya lebih moden selain turut mempertingkatkan kecekapan operasi, malah ia juga akan memenuhi sasaran pemuliharaan alam sekitar melalui pengurangan pembakaran bahan api bagi setiap tempat duduk, di samping mengekalkan keselamatan dan keselesaan penumpang sebagai terasnya. 

 

"Ini merupakan peristiwa penting apabila MAG bergerak ke arah kejayaan pelaksanaan Rancangan Perniagaan Jangka Panjang 2.0 kami untuk meletakkan dirinya sebagai kumpulan perkhidmatan penerbangan terkemuka di rantau ini," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Selain dari memperbaharui armada pesawat badan lebar, Airbus dan MAG juga turut menandatangani surat hasrat (LOI) untuk menerokai peluang usahasama yang lebih luas dalam bidang kelestarian, latihan, penyelenggaraan dan pengurusan ruang udara.

 

Sementara itu, Christian Scherer berkata,  Malaysia Airlines merupakan salah satu dari syarikat penerbangan yang terhebat di Asia dan pihaknya berbangga dan berbesar hati kerana dipilih sebagi pembekal pesawat badan lebar kepada mereka. 

 

"Keputusan ini jelas menyatakan pengiktirafan terhadap pesawat A330neo sebagai pilihan yang paling efisien dalam kategori saiz ini untuk pengoperasian premium. 

 

"Ia juga merupakan pemenang mutlak dari segi keselesaan dalam penerbangan dan kami tidak sabar untuk berkerjasama dengan Malaysia Airlines untuk mencipta ruang kabin yang terunggul," katanya. - DagangNews.com