Malaysia Airlines dapat 'lampu hijau' Mahkamah UK | DagangNews Skip to main content

Malaysia Airlines dapat 'lampu hijau' Mahkamah UK

 

 

 

KUALA LUMPUR 21 Jan. - Syarikat induk Malaysia Airlines, Malaysia Aviation Group (MAG) telah memperoleh kelulusan Mahkamah UK bagi meneruskan usaha penstrukturan semula. 

 

Lapor Reuters, kelulusan itu membolehkan kumpulan mengadakan mesyuarat dengan pemiutang bagi mempertimbangkan langkah itu. 

 

"Hasil keputusan ini akan dilaporkan semula kepada mahkamah dan perbicaraan ditetapkan pada 22 Februari," katanya dalam kenyataan. 

 

Malah, kumpulan itu berkata, syarikat menerima sokongan padu daripada pihak berkepentingan bagi penstrukturan semula hutang berjumlah RM16 bilion. 

 

Katanya, sebahagian daripada penstrukturan itu akan dilaksanakan melalui skema pengaturan yang akan diusulkan oleh anak syarikat penyewaan pesawat, MAB Leasing Ltd. (MABL),

 

"Ini merupakan sebahagian daripada usaha untuk meraih sokongan minoriti pemiutang yang belum menyokong cadangan ini," katanya.

 

MABL pada 23 Disember lalu, mengeluarkan Surat Penyataan Amalan kepada sekumpulan pemiutang bagi pemberitahuan niat mengemukakan syarat pengaturan di bawah Bahagian 26, Akta Syarikat UK 2006.

 

MAG menjangkakan proses mahkamah dan penstrukturan ini akan dimuktamadkan pada akhir suku ini. 

 

Pada awal tahun lalu, kumpulan sudah mula menunjukkan pemulihan pendapatan sebelum berlakunya krisis kesihatan global COVID-19 yang sekaligus memberi impak kepada industri penerbangan. - DagangNews.com