Malaysia bergerak keluar dari krisis COVID-19 lebih baik berbanding negara lain, kata Bank Dunia | DagangNews Skip to main content

Malaysia bergerak keluar dari krisis COVID-19 lebih baik berbanding negara lain, kata Bank Dunia

KUALA LUMPUR 20 Julai – Malaysia menunjukkan prestasi lebih baik dalam usaha menangani kemelut ekonomi yang teruk akibat pandemik COVID-19, berbanding banyak negara lain, kata Bank Dunia.

Pengarah Negara bagi Brunei, Malaysia, Filipina, Thailand, Asia Timur dan Pasifik, Ndiamé Diop (gambar) berkata, ekonomi Malaysia bersandar di atas fundamental-fundamental yang kukuh.

Ndiamé Diop

Menurutnya, struktur ekonomi Malaysia yang pelbagai, sistem kewangan yang bagus, tindak balas kesihatan awam yang berkesan dan sokongan dasar makro ekonomi proaktif, kesemuanya telah mengurangkan impak pandemik tersebut.

“Sementara kita menjangkakan ekonomi mencatat penguncupan besar tahun ini dengan keluaran dalam negara kasar menyusut sebanyak 3.1% dan terutamanya penguncupan pada suku kedua, masih wujud cahaya di hujung terowong,’’ ujarnya di dalam kenyataan.

Bank Dunia mengunjurkan 90% ekonomi-ekonomi dunia akan mencatat penguncupan tahun ini.

"Impak daripada pandemik dijangka membawa kepada pertambahan pertama di dalam kategori kemiskinan tegar global sejak 1998, secara langsung melupuskan kemajuan yang telah diraih sejak 2017,’’ katanya.

Menurut Diop, kerajaan Malaysia telah melaksanakan strategi enam peringkat bagi membina ketahanan dan memulihkan ekonomi, dengan negara ini sekarang berada di peringkat pemulihan, membina asas-asas untuk peringkat seterusnya iaitu penyegaran semula dan melakukan reformasi ekonomi.

"Ini bermakna kerajaan bukan sahaja bermatlamat untuk keluar daripada krisis pandemik tetapi juga cuba menjadi lebih baik berbanding sebelum ini, supaya ia lebih mampu bertahan bila berlaku satu lagi krisis seumpamanya,” kata beliau.

Diop berkata, sementara dasar-dasar sokongan utama telah diadakan, kerajaan perlu melakukan lebih lagi untuk melindungi mereka yang benar-benar memerlukan terutama isi rumah dan perniagaan yang terdedah kepada impak.

Sementara terdapat aktiviti ekonomi yang akan melantun pasca Perintah Kawalan Pergerakan, ia akan mengambil masa untuk pendapatan dan pekerjaan memulih kerana beberapa sektor ekonomi seperti perkilangan, akan menyaksikan pulangan segera kepada pertumbuhan berbanding lain-lain, seperti pelancongan.

Lebih banyak bantuan

"Ini mungkin bermaksud menyediakan lebih banyak pusingan bantuan kewangan kepada mereka yang terdedah, terutama B40 yang tidak memiliki simpanan dan rangkaian sokongan untuk bertahan daripada kesan berpanjangan terhadap pendapatan mereka,’’ katanya.

Beliau berkata, krisis tersebut menuntut keperluan bagi Malaysia untuk mengadakan sistem perlindungan sosial yang lebih kuat, yang lebih kos efektif dan tidak terpecah-pecah bagi memulihkan kebajikan individu atau isi rumah, semasa tempoh pemulihan ini dan juga masa hadapan.

Diop berkata, COVID-19 telah mengejutkan Malaysia dengan ruang bajet terhad untuk memberi tindak balas dengan suntikan fiskal langsung tetapi dengan kini ekonomi memulih, pembaharuan perlu dilakukan untuk melonjak hasil cukai, termasuk mencari sumber baharu perolehan yang lebih progresif.

Fokus utama juga hendaklah diberikan kepada aspek menambah kemahiran dan melatih semula tenaga kerja bagi ekonomi baharu, selain mempercepatkan agenda digital dan meniadakan jurang digital,’’ katanya.

"Malah sebelum krisis, wujud kesedaran bahawa Malaysia perlu merubah pendekatan daya saingnya bagi menarik pelaburan berkualiti tinggi, suatu cabaran yang semakin kritikal untuk ditangani sekarang,’’ ujar beliau. – DagangNews.com