Malaysia Debt Ventures, Kapital DX meterai perjanjian pelaburan bagi pengumpulan dana syarikat pemula menerusi platform IEO | DagangNews Skip to main content

Malaysia Debt Ventures, Kapital DX meterai perjanjian pelaburan bagi pengumpulan dana syarikat pemula menerusi platform IEO

Wong Chen (kiri) bersama Ketua Pegawai Eksekutif MDV, Nizam Mohamed Nadzri (dua dari kiri); Ketua Pegawai Eksekutif KLDX, Selvarany Rasiah (dua dari kanan) dan Tan Sri Nik Norzul Thani Nik Hassan Thani (kanan).
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 26 Sept - Malaysia Debt Ventures Berhad (MDV) menandatangani perjanjian pelaburan bersama Kapital DX Sdn. Bhd. sebagai sebahagian daripada usaha pengumpulan dana KLDX.

 

Bagaimanapun, jumlah perjanjian pelaburan itu tidak didedahkan.

 

Pelaburan adalah permulaan penerokaan MDV ke dalam tawaran awal bursa (IEO) selaras dengan mandat syarikat bagi menyokong sektor teknologi melalui pilihan pembiayaan yang inovatif.

 

Pelaburan itu adalah sebahagian daripada kerjasama untuk turut mempelbagaikan saluran pembiayaan MDV dan meluaskan kehadiran digitalnya melalui penyertaan dalam platform pembiayaan alternatif.

 

Pengerusi MDV, Wong Chen berkata, platform IEO, disokong oleh teknologi blockchain, anjakan baharu dalam pengumpulan dana kerana ia lebih cekap, kos efektif dan fleksibel untuk syarikat teknologi yang ingin meningkatkan perniagaan dan operasi.

 

"Ia membantu mengurangkan kebergantungan kepada institusi kewangan tradisional dan geran kerajaan, memupuk ekosistem teknologi yang lebih berdikari dan berdaya tahan.

 

"Platform itu juga akan memudahkan pengumpulan dana modal teroka dan hutang teroka yang akan menyokong pembangunan syarikat pemula teknologi di Malaysia dan rantau ini," katanya.

 

Sebagai platform IEO pertama yang akan dilancarkan di Malaysia, KLDX memperkenalkan pendekatan baharu kepada pemilikan aset melalui token digital.

 

Inovasi ini membuka pelbagai saluran pengumpulan dana dan pelaburan, membolehkan token digital mewakili pelbagai kelas aset dan menyediakan alternatif kepada pasaran tradisional.

 

Sementara itu, Pengerusi KLDX, Tan Sri Nik Norzrul Thani Nik Hassan Thani berkata, peluang bekerjasama dengan MDV dalam pelbagai kapasiti dengan memanfaatkan platform IEO juga sejajar dengan misi MDV dan KLDX untuk mengubah landskap pengumpulan dana untuk syarikat pemula yang sering menghadapi kesukaran mendapatkan pembiayaan daripada sumber pembiayaan tradisional dan yang akan mendapat manfaat daripada sumber pembiayaan alternatif.

 

"Kami optimis bahawa kerjasama ini akan membantu dalam menangani jurang pembiayaan yang sedia ada dan dalam memupuk persekitaran pembiayaan yang kondusif untuk syarikat, termasuk syarikat teknologi dan syarikat permulaan, untuk berkembang maju," katanya. - DagangNews.com