Malaysia destinasi pertumbuhan terbaik di ASEAN - Standard Chartered | DagangNews Skip to main content

Malaysia destinasi pertumbuhan terbaik di ASEAN - Standard Chartered

 

 

KUALA LUMPUR 19 Julai - Kaji selidik yang dijalankan Standard Chartered mendapati 49% responden memilih Malaysia sebagai salah satu negara yang menawarkan pengembangan terbaik di rantau ASEAN dalam tempoh 12 bulan akan datang. 

 

Menerusi laporan strategik bank global itu menerusi Perniagaan Tanpa Sempadan : Koridor Antara ASEAN yang meneroka peluang petumbuhan tinggi dalam pertumbuhan rentas sempadan turut menunjukkan sektor automotif, penjagaan kesihatan dan perkhidmatan digital sebagai sektor pertumbuhan utama di Malaysia. 

 

Malah, kaji selidik itu mendapati negara semakin menunjukkan kemampuan untuk memacu pertumbuhan dalam segmen kenderaan elektrik dan penyediaan pusat data. 

 

Selain itu, Malaysia juga dilihat sebagai hab pengeluaran peralatan perubatan dan peneraju pasaran dalam pelancongan perubatan. 

 

 

Abrar A. Anwar
Abrar A. Anwar

 

 

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Standard Chartered Malaysia, Abrar A. Anwar berkata, walaupun pandemik COVID-19 telah menjejaskan sentimen pelaburan langsung asing (FDI) secara global, tetapi Malaysia kekal sebagai destinasi terbaik kepada syarikat-syarikat yang mahu meneroka peluang pertumbuhan untuk mempelbagaikan rangkaian bekalan dan operasi di ASEAN. 

 

Katanya, segmen elektrik dan elektronik, penjagaan kesihatan, automotif dan e-dagang menjadi sektor utama yang menjadi perhatian di Malaysia. 

 

"Berdasarkan asas yang kukuh selama 146 tahun di negara ini, kami telah menyokong perniagaan untuk berkembang dengan menyediakan khidmat nasihat dan penyelesaian kewangan inovatif bagi memenuhi keperluan di peringkat tempatan dan rentas sempadan," katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

 

Sumber : Kaji selidik Standard Chartered
Sumber : Kaji selidik Standard Chartered

 

 

Menurut laporan berkenaan, secara keseluruhan, majoriti syarikat di ASEAN yang memberi tumpuan kepada peluang antara serantau menjangkakan pertumbuhan pesat perniagaan dalam 12 bulan akan datang (iaitu 99% menjangkakan pertumbuhan dari segi pengeluaran manakala 96% dari segi pendapatan).

 

Sebanyak 69% daripada kalangan eksekutif kanan syarikat yang terlibat dalam kali selidik itu melihat 
akses kepada pasaran yang luas dan berkembang di rantau ASEAN menjadi pemangkin utama dalam langkah pengembangan syarikat manakala akses kepada pasaran global menerusi Perjanjian Dagangan Bebas (59%) dan kewujudkan ramai pekerja berkemahiran (49%).

 

Di samping itu, Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dijangka menarik lebih banyak pelaburan ke rantau ini, dengan kesemua responden menyifatkan mereka merancang untuk meningkatkan pelaburan dalam tempoh 3 hingga 5 tahun akan datang. 

 

Dalam kalangan negara ASEAN, Malaysia merupakan hab utama kepada pelaburan dan sumber ketiga terbesar dari segi FDI antara ASEAN pada 2019. 

 

Kaji selidik itu juga menunjukkan syarikat menyedari pelbagai risiko di rantau ini dengan 3 risiko utama dikenal pasti iaitu pandemik COVID-19 atau krisis kesihatan lain (75%), ketidakpastian geopolitik dan konflik perdagangan (60%), dan pemulihan ekonomi yang perlahan dan penurunan perbelanjaan pengguna (49%).

 

Bagi memacu pertumbuhan kukuh dan seimbang di rantau ASEAI serta mengurangkan risiko dan cabaran, kaji selidik dalam kalangan eksekutif syarikat juga mengenal pasti dengan meneroka kerjasama baharu atau usaha sama dapat meningkatkan pasaran sedia ada (53% diikuti memacu kelestarian dan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (53%) dan melaksanakan program transformasi digital (52%). - DagangNews.com