Malaysia-Indonesia sepakat bentuk laluan perdagangan ketika COVID-19 | DagangNews Skip to main content

Malaysia-Indonesia sepakat bentuk laluan perdagangan ketika COVID-19

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 5 Feb. - Malaysia dan Indonesia sepakat untuk membentuk sebuah laluan perdagangan sementara atau Reciprocal Green Lane and Travel Corridor Arrangement (RGL/TCA). 

 

Ini bertujuan merangsang semula perdagangan pelaburan di antara Malaysia dan Indonesia ketika tempoh pandemik COVID-19. 

 

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam sebuah sidang media bersama Presiden Indonesia, Joko Widodo berkata, perbincangan awal berhubung langkah itu telah dimulakan di peringkat kerangka kerja. 

 

“Saya berharap kedua-dua pihak dapat mempergiatkan lagi rundingan bagi memperincikan prosedur operasi standard (SOP) untuk pelaksanaan RGL/ TCA.

 

“Saya percaya kedua-dua negara akan mencapai kata sepakat mengenai SOP ini dalam waktu terdekat. 

 

“Apa yang penting adalah pihak berkuasa kesihatan kedua-dua negara perlu meneliti dan juga menilai situasi COVID-19 di kedua-dua negara sebelum ia dapat dilaksanakan,” jelasnya. 

 

Terdahulu, Muhyiddin buat pertama kalinya melakukan lawatan rasmi ke Indonesia sebagai Perdana Menteri. 

 

Tambah Muhyiddin, beliau mahu hubungan kerjasama Kuala Lumpur dan Jakarta terus dipertingkatkan ke peringkat yang strategik dan komprehensif.

 

Menurutnya, ini membolehkan kedua-dua negara mengoptimumkan kerjasama yang sudah terjalin terutamanya dalam bidang ekonomi, perdagangan dan pelaburan.

 

Senadanya, Joko juga menyatakan hasrat untuk memperkukuh hubungan baik antara kedua-dua negara melalui komunikasi yang lebih baik di semua peringkat.

 

Perjumpaan antara kedua-dua pemimpin tertinggi negara itu turut membincangkan isu diskriminasi minyak sawit yang dilihat tidak berasas terutamanya di negara-negara Eropah. 

 

Muhyiddin dan Joko masing-masing menzahirkan kebimbangan terhadap isu berkenaan yang secara tidak langsung melibatkan nasib pekebun-pekebun kecil sawit di Malaysia dan Indonesia. 

 

Dalam pada itu, pergolakan politik yang melanda Myanmar turut menjadi tumpuan perbincangan antara Muhyiddin dan Joko. 

 

Jelas Muhyiddin, beliau khuatir sekiranya pergolakan kuasa pemerintahan yang berlaku di Myanmar akan memberi kesan ke atas negara-negara di rantau ASEAN.  

 

Pada awal minggu ini, kerajaan Myanmar telah digulingkan dalam rampasan kuasa tentera negara atas tuduhan terdapat  penyelewengan dalam pilihan raya November yang dimenangi oleh parti Aung San Suu Kyi. - DagangNews.com