Malaysia No.4 indeks kos jalankan perniagaan | DagangNews Skip to main content

Malaysia No.4 indeks kos jalankan perniagaan

Malaysia

KUALA LUMPUR 3 Nov. - Malaysia berjaya menempatkan diri di kedudukan keempat dalam kalangan 17 ekonomi negara lain yang membandingkan daya saing ekonomi sebagai hab pembuatan dalam kos menjalankan perniagaan (CoDB).

Rakan kongsi pengurusan KPMG Malaysia, Datuk Johan Idris berkata, Malaysia mencatatkan skor tertinggi seiring dengan beberapa negara lain seperti China, Mexico dan Vietnam.

"Tiga faktor utama telah menjadikan negara ini cemerlang iaitu kos pemampasan setiap jam, kos hartanah dan kadar cukai korporat.

"Malaysia terus menjadi hab pembuatan utama bagi pelabur walaupun berlaku ketidaktentuan dalam landskap semasa. 

"Ini amat signifikan dalam realiti sekarang ini, yang mana kestabilan operasi serta pembendungan kos menjadi keutamaan dalam kelangsungan perniagaan jangka panjang bagi setiap perusahaan," katanya dalam taklimat media secara maya bersama-sama dengan InvestKL, seperti dilapor BERNAMA.

Kajian yang dijalankan oleh KPMG dan The Manufacturing Institute di Amerika Syarikat (AS) itu bertajuk 'Cost of manufacturing operations around the globe'.

Kajian itu menilai sebanyak 23 faktor yang mempengaruhi kos untuk menjalankan perniagaan (CoDB).

Tambah Johan, Malaysia dilihat mampu untuk mengekalkan daya saing serta menjadi destinasi pilihan pelabur bernilai tinggi.

Kemampuan itu didorong oleh tindakan Malaysia dalam membina kemampanan dan membangunkan ketahanan.

Ujarnya, hasil kajian itu juga menyokong tumpuan kerajaan untuk memulihkan iklim pelaburan Malaysia. - DagangNews.com