Oleh TENGKU NOOR SHAMSIAH TENGKU ABDULLAH
editor@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 26 Julai – Sebagai sebuah negara yang sedang membangun, Malaysia telah menjadi sebuah negara kuasa pertengahan dan pemimpin dunia yang juga sedang membangun, disebabkan oleh kekuatannya dalam mempromosikan diplomasi tradisional dan formal, menurut Tan Sri Michael Yeoh.
Namun, kata Presiden Institut Strategik KSI untuk Asia Pasifik, oleh kerana dunia ini sedang berubah dengan pesat dengan kemunculan teknologi mengganggu (distruption), ketegangan geopolitik dan peristiwa besar seperti COVID-19, terdapat keperluan mendesak bagi negara-negara untuk bekerjasama bukan hanya dengan negara lain tetapi juga dengan petindak bukan negara.
“Diplomasi awam adalah sebuah alat yang penting bagi negara-negara untuk menyampaikan keutamaan dan nilai strategik mereka dengan masyarakat asing.
“Malaysia merupakan sebuah negara yang baik dan memiliki posisi yang bagus untuk memanfaatkan banyak bentuk diplomasi awam dalam perjalanannya untuk menjadi negara kuasa pertengahan yang membawa lebih impak,” jelas Yeoh.
Beliau berkata demikian pada Persidangan Diplomasi Awam Pertama Di Asia yang diadakan secara maya di Singapura yang juga disertai media Malaysia.
Persidangan yang bermula Isnin hingga 30 Julai itu dibuka oleh Menteri Hal Ehwal Luar Singapura, Dr Vivian Balakrishnan, akan membincang cara diplomasi awam dipraktikkan di Asia Tenggara dan masa hadapannya dalam 'norma baharu'.
Anjuran bersama SIF dengan Pusat Diplomasi Awam Universiti California Selatan menyatukan 40 pakar diplomasi awam (PD) dari 15 buah negara, mewakili sektor-sektor swasta, awam dan orang ramai.
Perbincangan lima hari ini akan bertumpu pada dasar dan praktik diplomasi awam di Asia, dan menampilkan pelancaran Winning Hearts and Minds: Public Diplomacy in ASEAN.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif SIF Jean Tan berkata, “Diplomasi awam, juga dikenali sebagai diplomasi masyarakat, merupakan masa hadapan hubungan antarabangsa disebabkan oleh dunia yang saling berhubung pada hari ini.
Katanya, semakin ramai individu, dari bidang akademik, perniagaan dan masyarakat sivil memulai wacana dan bertindak terhadap isu-isu yang, di dunia yang berubah dengan cepat, mungkin telah terlepas perhatian oleh pihak kerajaan.
“Mereka berhubung dalam talian untuk bekerjasama untuk sebilangan besar masalah rentas sempadan untuk mengeksport idea, mempengaruhi pendapat dan mengembangkan penyelesaian. Negara-negara yang memanfaatkan pengaruh rakyat mereka yang berkembang untuk membina kepercayaan, rasa hormat dan masa hadapan bersama dengan orang lain, akan mempunyai kelebihan, katanya.
Ujar beliau lagi, bersama dengan inisiatif yang dipandu oleh pelbagai negara, diplomasi masyarakat memperkayakan hubungan antara negara untuk membina dunia yang lebih baik.
Sementara itu, Dr Jian (Jay) Wang, Pengarah Pusat Diplomasi Awam USC dan Profesor Madya di Sekolah Komunikasi dan Kewartawanan USC Annenberg berkongsi: “SIF telah meluangkan lebih daripada 30 tahun untuk membina hubungan antara satu sama lain dan impak sosial melalui program berkisar mengenai budaya, pembangunan, dan diplomasi digital.
Katanya, sebagai petindak diplomasi awam, ia mempunyai pemahaman yang mendalam tentang nuansa budaya komunikasi di Asia, dan Pusat Diplomasi Awam USC berbangga untuk bekerjasama dengan SIF dalam misinya untuk menyatukan komuniti dunia.”
Sempena pembukaan persidang antarabangsa itu, Dr Vivian juga melancarkan Winning Hearts and Minds: Public Diplomacy in ASEAN - sebuah kompilasi mengenai diplomasi awam yang pertama di Asia Tenggara.
Dalam buku tersebut, para penulis dari sepuluh negara ASEAN membekalkan perspektif dalam pendekatan negara mereka terhadap diplomasi awam, cara ia telah berkembang dan aspirasi mereka untuk masa hadapan.
Menurut Dr Jian: “Penerbitan yang telah digabungkan oleh SIF menawarkan wawasan yang berguna mengenai praktik diplomasi awam negara-negara di ASEAN hari ini, dan saya berharap ini akan mendorong masyarakat Asia Tenggara untuk mengambil minat dan menyertai dengan lebih aktif dalam subjek ini.”
Reuben Kwan, Pengarah Pengurusan Strategik SIF yang menyelia penerbitan tersebut, berkata: “Walaupun diplomasi awam memainkan peranan yang penting dalam pembinaan kedamaian, kami mempunyai kesusasteraan dan penyelidikan yang terhad mengenai cara ia dipraktikkan di Asia.
“Melalui Winning Hearts and Minds: Public Diplomacy in ASEAN, kami ingin mengetengahkan praktik dan sumbangan orang Asia kepada diplomasi awam, seperti yang dipengaruhi oleh konteks budaya dan geopolitik rantau yang unik ini. Lebih penting lagi, kami ingin melihat apa lagi yang dapat kami lakukan untuk memperdalam kepercayaan dan kerjasama di rantau ini,” tambah beliau. – DagangNews.com