Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengetuai delegasi Malaysia dalam sesi pleno Sidang Kemuncak ASEAN ke-37 yang diadakan secara maya.
KUALA LUMPUR 12 Nov. - Malaysia meletakkan keyakinan tinggi terhadap ASEAN dalam memainkan peranan penting bagi menghadapi cabaran pandemik COVID-19.
Ini berdasarkan pelaksanaan pelbagai inisiatif yang dibincangkan oleh banyak mekanisme yang diterajui pertubuhan serantau itu.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ASEAN perlu memastikan inisiatif itu menjadi platform untuk sama-sama berganding bahu dengan rakan kongsi dan pihak berkepentingan sama ada di luar dan dalam bagi membasmi dan mengatasi kesan akibat COVID-19 di rantau ini.
"Perkara ini menjadi lebih penting terutama membabitkan pembangunan dan akses terhadap vaksin COVID-19.
"Dalam hal ini, ASEAN mesti berganding bahu dengan pertubuhan antarabangsa berkaitan seperti Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) dan negara lain bagi memastikan vaksin itu, sebaik sahaja diluluskan, berapa pada harga yang mampu dimiliki, mudah diperoleh serta dapat dikongsikan dengan semua," katanya dalam sesi pleno Sidang Kemuncak ASEAN ke-37, menurut laporan Bernama.
Perdana Menteri mengetuai delegasi Malaysia pada sidang kemuncak dwitahunan yang berlangsung sehingga Ahad ini dan diadakan secara maya.
Sidang dipengerusikan Perdana Menteri Vietnam, Nguyen Xuan Phuc selaku Pengerusi Asean 2020 bertemakan "ASEAN Kohesif dan Responsif" (Cohesive and Responsive ASEAN).
Yang turut serta, Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Menteri Kanan dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Pada sesi itu, Muhyiddin berkata, Malaysia mengalu-alukan penyertaan rakan kongsi dari luar yang sedia berkongsi kepakaran dan penemuan mereka berkaitan perkara ini.
"Adalah penting bagi pertubuhan serantau ini yang kebanyakan anggota adalah dalam kalangan negara membangun, untuk memberi fokus kepada Kerangka Kerja Pemulihan Komprehensif ASEAN.
"Saya gembira melihat cadangan saya pada awal tahun ini yang akan kita sahkan hari ini, menjadi realiti," katanya.
Kerangka Kerja Pemulihan Komprehensif ASEAN adalah satu daripada tiga dokumen rasmi yang akan dikeluarkan pada sidang kemuncak ini.
Dokumen rasmi lain adalah kajian separuh penggal Wawasan Komuniti ASEAN 2025 dan Rizab Bekalan Perubatan Kecemasan Kesihatan Awam ASEAN.
Menurut beliau, ASEAN seharusnya merangka strategi mengenai pendekatannya dalam memulihkan ekonomi, perdagangan dan pelaburan dengan menerima pakai norma baharu hubungan ekonomi termasuk menerusi teknologi seperti platform digital.
Katanya, pergerakan barangan dan perkhidmatan termasuk operasi infrastruktur kritikal seperti pelabuhan dan lapangan terbang serta rangkaian logistik, masih boleh diakses dan ia dilaksanakan sejajar dengan norma baharu bagi mengekalkan dan memastikan pertubuhan ekonomi pada saat getir ini.
Perdana Menteri berkata, pergerakan penting menerusi Koridor Perjalanan, mesti diberi keutamaan seperti yang sudah dikoordinasikan mengikut prosedur dan peraturan yang ditetapkan antara negara anggota termasuk pergerakan orang ramai di rantau ini, kerana ia turut membantu memacu ekonomi.
"Penting bagi pelan pemulihan ekonomi ASEAN untuk bukan saja melihat pertimbangan kewangan, tetapi turut melihat keperluan membentuk perkongsian teguh, sepadu dan ampuh bagi mengekalkan kekayaan jalinan sosial yang menjadi tunjang Komuniti ASEAN," katanya.
Beliau berkata, sudah tiba masanya, rantau yang kaya dengan sumber semula jadi ini untuk turut melihat kaedah yang boleh dilaksanakan bagi mengukuhkan jaringan keselamatan makanan.
Ini kerana menurutnya, ASEAN perlu merebut peluang untuk mengukuhkan sektor berasaskan pertanian di rantau ini tatkala rantaian bekalan makanan global ketika ini terjejas teruk. - DagangNews.com