KUALA LUMPUR 17 Ogos - Kenanga Research mengunjurkan 2HFY22 lebih baik untuk P.I.E. Industrial Berhad terutama selepas kehadiran pekerja asing baharu yang akan membantu menyelesaikan masalah kekurangan tenaga pekerja.
Firma itu berkata, kekurangan tenaga pekerja kumpulan itu dijangka beransur pulih bermula September 2022 dengan sasaran menyelesaikan isu pengambilan pekerja asing pada penghujung Ogos 2022 dengan semua levi serta yuran pengambilan telah disempurnakan pada 2QFY22.
"Ini akan membantu mengurangkan ketidakcekapan pengeluaran dan mengurangkan perbelanjaan pembayaran lebih masa.
"Walaupun pekerja baharu yang diambil mencukupi untuk pelan pertumbuhan FY22, kumpulan itu sudah mula memohon kuota tambahan dengan jangkaan perolehan perniagaan baharu apabila kilangnya yang berkeluasan 150,000 kaki persegi siap menjelang akhir 2022," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma itu berkata, walaupun momentum dalam ruang kewangan terdesentralisasi (DeFi) semakin perlahan namun permintaan daripada pelanggan China kekal berdaya tahan.
"Pelanggan berkenaan hadir ke Pulau Pinang minggu lepas untuk merasmikan pembukaan kilang seluas 120,000 kaki persegi yang didedikasikan sepenuhnya untuk produk mereka.
"Buat masa sekarang, kilang baharu itu sudah pun 70-80% diduduki dan dijangka memberikan hasil pada 2HFY22," katanya.
Bagaimanapun, kumpulan itu berdepan risiko kehilangan tempahan daripada pelanggan utama, kekurangan tenaga pekerja dan peningkatan kos tenaga kerja.
"Selain itu mereka juga berdepan pandangan negatif aktivitis kemanusiaan terhadap layanan terhadap pekerja asing dan pergerakan mata wang asing yang tidak menguntungkan," katanya.
Firma itu mengekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran (TP) RM3.70. - DagangNews.com