PUTRAJAYA 18 Julai - Kerajaan akan memberi perhatian terhadap masalah dan aduan yang disuarakan penghantar makanan GrabFood dan FoodPanda tentang nasib mereka melalui perbincangan dengan syarikat terlibat mengikut dasar sedia ada.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, masalah yang dihadapi penghantar makanan, antaranya kebajikan dan ketidakadilan kadar tambang akan dibincang bersama syarikat berkenaan dalam memastikan golongan tersebut tidak tercicir dalam arus pembangunan terutamanya dalam kelembapan ekonomi.
"Saya beri jaminan, masalah mereka akan diberi perhatian. Kami cuba mengurangkan kadar pengangguran, jadi apa sahaja yang kita dapat selesaikan dengan segera secara tidak langsung akan mengurangkan beban pengangguran di negara ini,” katanya kepada pemberita selepas menerima memorandum suara nasib penghantar makanan itu di kementeriannya di sini semalam.
Pada mulanya, hanya 10 wakil daripada Gerakan Tuntut Malaysia (Tuntut), GrabFood dan FoodPanda dibenarkan masuk ke pekarangan kementerian itu untuk menyerahkan memorandum, namun selepas mendapat tahu terdapat lebih 100 orang berkumpul di luar, Saravanan keluar dari pejabatnya untuk bertemu serta mendengar rintihan mereka.
Sementara itu, penghantar makanan GrabFood, Khairi Hasim, 41, memberitahu Bernama, antara masalah ialah wujudnya prosedur operasi standard (SOP) sentiasa berubah dalam proses upah pada setiap penghantaran, yang bukannya bersifat menambah baik tetapi menyebabkan penghantar makanan itu menjadi mangsa.
"Satu lagi isu ialah penghantaran makanan oleh GrabCar yang masih diteruskan. GrabCar sekarang boleh ambil penumpang dan juga makanan.
"Ini menjejaskan penghantar makanan (bermotosikal) sekali gus mewujudkan lambakan penunggang," katanya yang berharap kerajaan dapat campur tangan dalam menyelesaikan masalah penghantar makanan.
Bagi penghantar makanan FoodPanda, Jeffry Rizal Jamaluddin, 45, berkata sistem syarikat itu menganiaya penghantar makanan kerana sering berlakunya kekurangan pada gaji.
Ini kerana sistem pengiraan gaji dilakukan secara manual dengan menggunakan aplikasi 'Excel' dan individu yang mengawal serta mentadbir kewangan penghantar makanan sering melakukan kesilapan," katanya.
Selain itu, katanya, prestasi penghantar makanan sering terjejas kerana kelemahan sistem GPS Aplikasi Roadrunner yang tidak dapat mengesan semasa penghantar makanan bergerak dan direhatkan selama 30 minit.
"Ketika direhatkan, penghantar makanan tidak akan mendapat pesanan. Jika seorang penghantar makanan sekalipun telah sampai di restoran serta mengambil pesanan dan telah mengambil gambar sebagai bukti kepada khidmat pelanggan, penghantar makanan tetap akan direhatkan tanpa budi bicara kerana alasannya masalah pada sistem," katanya. - DagangNews.com