Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 20 Okt. - Bank Negara Malaysia (BNM) mendapati masih wujud jurang pembiayaan dalam pembangunan projek lestari walaupun kerajaan menawarkan banyak pembiayaan hijau antaranya, Skim Pembiayaan Teknologi Hijau.
Penolong Gabenor BNM, Fraziali Ismail berkata, ini akan menyebabkan sasaran Malaysia untuk meminimumkan pelepasan gas rumah hijau menjelang 2030 akan berdepan cabaran ekoran wujudnya ketidaksepadanan dalam permintaan dan bekalan bagi dana teknologi hijau.
Katanya, terdapat sesetengah institusi memperuntukkan modal dan menyalurkan aliran kewangan bagi aktiviti rendah karbon dan daya tahan iklim.
"Bagaimanapun, masih wujud jurang pembiayaan yang besar dan kewangan awam mungkin tidak mencukupi untuk melaksanakan tanggungjawab ini, justeru, terdapat keperluan untuk menarik pelaburan persendirian.
"Sektor tenaga boleh diperbaharui contohnya, memerlukan dana berjumlah RM33.5 bilion menjelang 2025 berdasarkan unjuran yang dibuat Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari Malaysia (SEDA Malaysia)," katanya dalam ucap tama pada Persidangan Tindakan Pembiayaan Iklim hari ini.
Persidangan itu diadakan sempena Pameran dan Persidangan Produk Eko dan Greentech Antarabangsa Malaysia (IGEM) 2020 bertemakan "Tindakan Iklim dalam Sektor Kewangan Malaysia".
Dengan memetik laporan Asian Development Bank (ADB), Fraziali berkata, pembiayaan hijau masih kurang dan pelaburan hijau pula masih belum dibiayai.
"Laporan terbaharu ADB menunjukkan negara Asia Tenggara memerlukan dana berjumlah AS$3.1 trilion untuk infrastruktur yang bersesuaian dengan iklim di rantau ini menjelang 2030," katanya.
Sehubungan itu, beliau menekankan betapa penting keperluan untuk menghubungkan jurang maklumat dan bahasa antara para saintis, kerajaan dan pembiaya kewangan.
Malah, beliau menyedari terdapat pengetahuan teknikal yang terhad dalam institusi kewangan menyebabkan mereka ragu-ragu untuk menyediakan dana atau apa jua bentuk perlindungan mahupun jaminan memandangkan risiko masih wujud.
Fraziali berkata, peranan sektor kewangan terutama dalam pasaran modal dapat memacu pembangunan lestari negara menerusi pasaran sukuk.
"Kita boleh memasuki pasaran sukuk bagi membiayai aktiviti atau teknologi yang menyokong komuniti rendah karbon dan daya tahan iklim," katanya.
Ini kerana menurut beliau, pasaran sukuk yang merupakan segmen terbesar dalam segmen kewangan Islam memainkan peranan penting dalam menyokong pertumbuhan sektor teknologi hijau. - DagangNews.com