MAVCAP sasar tarik lebih banyak syarikat pemula asing ke Malaysia | DagangNews Skip to main content

MAVCAP sasar tarik lebih banyak syarikat pemula asing ke Malaysia

KUALA LUMPUR 13 Dis - Malaysia Venture Capital Management Berhad (MAVCAP) menyasarkan untuk menarik lebih banyak syarikat pemula niaga asing ke negara ini menerusi inisiatif rakan dana pada masa depan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Shahril Hasan Aziz berkata, MAVCAP bertindak memudahkan kemasukan dua firma modal teroka global (VC) ke Asia Tenggara menerusi Malaysia selain menyokong tiga firma serantau di negara ini sejak penubuhannya pada 2001.

 

“Kami mahukan pergerakan tenaga kerja dan orang ramai dalam memastikan kepelbagaian ekosistem syarikat permulaan tempatan tersedia apabila lebih banyak syarikat sedemikian masuk ke Malaysia,” katanya kepada pemberita pada sesi perbincangan pertama MAVCAP dengan penggiat industri, hari ini lapor Bernama.

 

Menerusi Rancangan Malaysia Ke-12, MAVCAP diperuntukkan kira-kira RM400 juta dalam tempoh lima tahun bagi menyokong lebih 40 syarikat pemula.

 

Pada tahun ini, MAVCAP telah menyokong sembilan syarikat melalui pembiayaan rakan dana.

 

“MAVCAP mempunyai mandat jelas mengenai (kaedah) pembahagian dana yang disalurkan oleh kerajaan dan keutamaan kami adalah dana pembangunan serta dana komersial.

 

"Kami perlu memastikannya agar dapat mengimbangi peruntukan dana," katanya. 

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Pelaburan, Paramjit Singh Gill mengunjurkan bahawa data besar, web3 dan pelaburan dipacu oleh data akan menjadi pengubah sektor pada tahuntahun mendatang selain perniagaan teknologi sedia ada berikutan peningkatan penggunaan digital yang ketara sejak pandemik COVID-19.

 

Sehubungan itu, MAVCAP positif mengenai pembangunan ekosistem VC Malaysia di bawah kerjasama awam-swasta,  baik di dalam atau luar negara  melalui pelaburan selain memperjuangkan usahawan teknologi tempatan pada skala global biarpun dalam keadaan ketidaktentuan ekonomi global pada tahun depan. 

 

MAVCAP merupakan syarikat modal teroka terbesar negara ini dan milik penuh Kementerian Kewangan. - DagangNews.com