Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 7 Sept. - Memahami terdapat keperluan yang kian meningkat untuk perniagaan mengakses dan mengawal sumber, Maxis memperkenalkan infrastruktur awan yang ditambah baik menerusi Right Cloud.
Right Cloud dilihat dapat mengukuhkan kemampuan Maxis sebagai penyedia perkhidmatan awan yang menyeluruh, disokong oleh kepakaran dan kesalinghubungan yang tepat.
Ketua Amalan Perusahaan Maxis, Claire Featherston percaya bahawa pemilihan perkhidmatan awan yang tepat dapat memenuhi keperluan organisasi berdasarkan objektif dan cabaran semasanya.
“Penawaran baharu kami dibina berdasarkan tiga elemen penting - Right Cloud, Right Expertise dan Right Network.
“Gabungan ini dapat menyokong perusahaan dengan perjalanan transformasi awan holistik dari reka bentuk kepada pelaksanaan, sehingga mereka dapat fokus dalam memacu kejayaan hasil perniagaan.
“Cita-cita kami untuk mempercepat penerapan awan di negara ini selari dengan komitmen Maxis untuk menyokong agenda digital negara,” katanya dalam satu kenyataan.
Maxis Right Cloud diupayakan dengan platform pengurusan agnostik awan, yang memberi pengguna lebih pengawasan dan kawalan sumber awan mereka.
Dalam pada itu, Right Cloud juga disokong oleh kemampuan dalaman menyeluruh dari menilai, merancang, membina, melakukan migrasi, mengawal keselamatan dan mengurus infrastruktur awan untuk perniagaan.
Selain bekerjasama dengan penyedia awan awam terkemuka serta perkhidmatan awan swasta dan hibrid, Maxis juga mempunyai kumpulan pakar teknikal dengan akreditasi sepenuhnya dan disahkan oleh AWS dan Microsoft.
Semua penyelesaian awan Maxis boleh diakses melalui Maxis Programmable Network (MPN), rangkaian pertama di Malaysia yang ditentukan oleh perisian yang dapat diprogramkan dan disahkan oleh Metro Ethernet Forum (MEF) 3.0.
Pada masa ini Maxis menawarkan Public Cloud, Private Cloud, Hybrid Cloud, Backup as a Service, Data Center Services, Data Center dan Cloud Connect. - DagangNews.com