ARJUN VARMA (kiri) dan Michael Tung (kanan) pada majlis pelancaran router WiFi 6 secara maya hari ini.
Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 18 Feb. - Syarikat telekomunikasi, Maxis memperkenalkan produk gentian (fibre) baharu yang memberikan kelajuan sambungan internet dari rumah lebih pantas, WiFi 6.
Susulan pandemik COVID-19 yang mendorong rakyat untuk bekerja mahupun belajar dari rumah, router WiFi 6 dikatakan dapat memenuhi sambungan internet yang berkualiti sekali gus meningkatkan pengalaman gentian WiFi.
Ketua Pengguna Maxis, Arjun Varma berkata, tidak diragui bahawa penggunaan data dan jumlah peranti yang disambungkan kepada internet di rumah telah meningkat terutamanya pada situasi kini.
Susulan itu, penyambungan gentian kediaman memainkan peranan penting dalam kehidupan masyarakat Malaysia, ujarnya.
“Keperluan untuk WiFi kediaman yang berkualiti dan boleh dipercayai amat diperlukan kini bagi menyesuaikan gaya hidup dan tingkah laku pengguna kami.
“Di Maxis, kami terus menilai keperluan pelanggan, dan kami ingin memastikan bahawa mereka mempunyai pengalaman gentian terbaik dengan penawaran router WiFi 6 terkini.
“Ini adalah contoh yang jelas dari komitmen kami untuk menyatukan teknologi terbaik untuk membolehkan pelanggan kami sentiasa maju dalam dunia yang berubah,” katanya dalam sebuah kenyataan hari ini.
Produk gentian WiFi 6 telah dilancarkan secara maya hari ini. Turut serta Varma dan Ketua Segmen - Kediaman, Maxis, Michael Tung.
Router WiFi 6 ditawarkan secara percuma mulai hari ini, 18 Februari untuk pelanggan baharu yang mendaftar bagi pelan Maxis Fibre 100Mbps ke atas.
Bagi pelanggan Maxis Fibre sedia ada, mereka akan dihubungi secara berperingkat untuk pelaksanaan peningkatan router.
Pada majlis pelancaran itu, Varma turut mengakui bahawa penggunaan internet seperti menonton video di platform YouTube menyaksikan peningkatan yang ketara ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Dalam masa sama, jumlah sambungan internet ke WiFi juga meningkat tiga kali ganda kepada sekitar enam hingga lapan sambungan peranti, ujarnya.
Sementara itu, ujar Tung, router berkenaan turut menawarkan liputan WiFi yang lebih luas dengan julat signal dipertingkatkan dan serasi dengan EasyMesh™ .
Ini bermakna, pelanggan boleh memperluas rangkaian WiFi rumah mereka dengan menambahkan unit mesh EasyMesh™ pilihan tersendiri.
“Selain itu, router WiFi 6 ini membolehkan kapasiti yang lebih besar untuk lebih banyak peranti disambungkan untuk berjalan serentak pada kelajuan optimum, supaya pelanggan dapat menikmati semuanya tanpa gangguan,” katanya. - DagangNews.com