Maybank IB jangka Eco World Development capai sasaran jualan RM3.7 bilion bagi FY23 | DagangNews Skip to main content

Maybank IB jangka Eco World Development capai sasaran jualan RM3.7 bilion bagi FY23

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 Sept - Eco World Development Berhad dijangka berjaya mencapai sasaran jualan RM3.7 bilion bagi FY23 berdasarkan unjuran Maybank Investment Bank (Maybank IB).

 

Firma penyelidikan itu berkata, unjuran itu adalah berdasarkan kejayaan kumpulan itu mencatatkan jualan RM3.1 bilion dalam tempoh 10MFY23.

 

Katanya, daripada jualan itu, 42% datang dari rumah berharga melebihi RM650,000 manakala baki 11% datang dari hartanah di bawah RM650,000 manakala 33% daripada taman perindustrian dan 14% dari hartanah komersial.

 

"Pada akhir Julai 2023, jualan tidak dibilkan (projek di Malaysia) adalah RM4.1 bilion atau 1.3x daripada hasil FY24 kami," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, untung bersih Eco World Development bagi suku ketiga berakhir 31 Julai 2023 (3QFY23) meningkat 43% kepada RM66.34 juta atau 2.25 sen sesaham berbanding daripada RM46.39 juta atau 1.58 sen sesaham setahun lalu.

 

Peningkatan itu didorong oleh peningkatan aktiviti kemajuan tapak dan harga produk serta penjimatan kos selepas projek tertentu siap secara berperingkat.

 

BACA JUGA: Eco World catat untung bersih RM66.3 juta bagi 3QFY23, peningkatan 43% berbanding RM46.4 juta pada tahun lalu

 

Maybank IB berkata, kumpulan itu kebiasaannya menhasilkan keputusan lebih baik pada suku keempat.

 

Katanya, walaupun hasil kumpulan itu menyusut 7% bagi 9MFY23 sebabkan penyiapan beberapa projek, untung bersih mereka meningkat 23% dari tahun ke tahun hasil sumbangan yang lebih kukuh daripada projek kerjasama tempatannya disebabkan margin keuntungan operasi yang lebih baik.

 

"Margin pendapatan sebelum faedah dan cukai (EBIT) 9MFY23 meningkat 4.4ppt dari tahun ke tahun kepada 20.8% disebabkan oleh penjimatan kos yang direalisasikan pada fasa yang telah siap.

 

"Kami mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga sasaran (TP) RM1.12 sesaham," katanya.  - DagangNews.com