Maybank Islamic sedia dana RM1 juta bantu golongan terjejas akibat COVID-19 | DagangNews Skip to main content

Maybank Islamic sedia dana RM1 juta bantu golongan terjejas akibat COVID-19

 

 

KUALA LUMPUR 2 Sept. - Maybank Islamic Bhd. memperuntukkan dana RM1 juta kepada golongan yang terkesan di seluruh negara akibat penularan COVID-19 yang disalurkan melalui Maybank Anytime Everyone (MAE-i).

 

Sebanyak RM200 akan dikreditkan ke dalam akaun MAE-i kepada hampir 5,000 individu yang layak.

 

Dompet elektronik patuh syariah ini yang dilancarkan pada Mac 2020 bertujuan menggalakkan perbelanjaan atau transaksi tanpa tunai.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic, Datuk Mohamed Rafique Merican berkata, inisiatif ini dilancarkan untuk menggalakkan mereka membuat transaksi tanpa sentuhan selain dapat mengelakkan jangkitan virus.

 

Katanya, program ini dapat meringankan beban yang dihadapi golongan asnaf dan berpendapatan rendah (B40), terutama apabila ramai yang hilang punca pendapatan ketika ancaman pandemik melanda negara.

 

"Ini sekali gus membantu golongan ini supaya memanfaatkan saluran pembayaran tanpa tunai di kaunter atau pembayaran dalam talian mengikut kesesuaian dan keselesaan mereka," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Beliau juga memberitahu, bagi mereka yang belum mempunyai akaun MAE-i, rakan kerjasama Maybank Islamic akan membantu mereka dalam proses mendaftar akaun tersebut.

 

"Di samping itu, bantuan pek makanan dengan nilai yang sama akan diagihkan kepada golongan yang tidak mempunyai telefon pintar," tambah beliau.

 

Pelaksanaan projek ini memberi tumpuan kepada golongan kurang bernasib baik terutama dalam kalangan mereka yang layak menerima zakat, ibu tunggal, warga emas, keluarga kurang berkemampuan yang bekerja sendiri dan terjejas teruk kerana kehilangan pendapatan dalam tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan COVID-19.

 

Walaupun pihak bank sering menumpukan perhatian kepada operasi perniagaan dan perkhidmatan perbankan, Maybank Islamic juga sentiasa memberikan perhatian yang besar untuk membantu individu dan keluarga yang kurang bernasib baik melalui program-program tanggungjawab sosial korporat yang dirancang sepanjang tahun.

 

Langkah ini selaras dengan misi kumpulan Maybank untuk menginsankan perkhidmatan kewangan di negara-negara di mana Maybank beroperasi.

 

Program ini dijayakan dengan kerjasama 5 pertubuhan bukan berasaskan keuntungan iaitu Islamic Aid Malaysia (IAM), Mercy Malaysia, Islamic Relief Malaysia (IRM), Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) dan Yayasan Ikhlas bermula 1 September 2021. - DagangNews.com