Maybank Islamic sumbang 26 ekor lembu korban di seluruh negara sempena Aidiladha | DagangNews Skip to main content

Maybank Islamic sumbang 26 ekor lembu korban di seluruh negara sempena Aidiladha

Mohd Fauzolzakee Mohd Amin, Pengurus Cawangan Maybank Kota Bharu (kanan) bersama Ustaz Abdul Aziz Che Mat, Penerusi Masjid Al-Husna Baung Bayam (tengah) ketika persediaan untuk melaksanakan ibadah korban di Kota Bharu, Kelantan baru-baru ini


 

KUALA LUMPUR 27 Julai – Maybank Islamic Berhad menyumbang 26 ekor lembu korban kepada masjid-masjid terpilih di seluruh negara bagi menjayakan ibadah korban sempena Hari Raya Aidiladha pada tahun ini.

 

Inisiatif yang memperuntukan dua ekor lembu bagi setiap negeri bagi menyatuni masyarakat  setempat ini dilaksanakan dengan kerjasama Persatuan Kakitangan Islam Maybank (PKIMB) menerusi Pejabat Wilayah Maybank di negeri-negeri yang dibenarkan melakukan ibadah berkenaan.

 

Maybank Islamic menerusi satu kenyataan berkata, sumbangan ini bertujuan untuk mengeratkan silaturahim warga Maybank dan masyarakat setempat melalui amalan berkongsi sekaligus dapat membantu meringankan beban golongan B40 terutama ketika negara dilanda Pandemik COVID-19.

 

Walaupun berlangsung dalam norma baharu serta mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan garis panduan ditetapkan oleh kerajaan bagi mengekang risiko penularan COVID-19, namun secara tidak langsung semangat korban itu masih dapat dirasai ketika sambutan Hari Raya Aidiladha.

 

Program ini selaras dengan misi Kumpulan Maybank untuk menginsankan perkhidmatan kewangan di seluruh cawangan Maybank beroperasi terutama menerusi program kemasyarakatan untuk terus berada dekat dihati masyarakat.

 

Maybank Islamic tahun ini memperuntukkan lebih RM19 juta menerusi program-program  tanggungjawab sosial koporat (CSR) dan terus mengorak langkah ke depan dalam menyantuni pelbagai golongan sasaran terutamanya ketika pandemik COVID-19 ini. – DagangNews.com