McDonald's Malaysia melabur RM300 juta untuk program latihan dan pembangunan bakat | DagangNews Skip to main content

McDonald's Malaysia melabur RM300 juta untuk program latihan dan pembangunan bakat

UiTM dan McDonald’s Malaysia menandatangani MoU merasmikan kerjasama untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan melalui Program Perantis McDonald’s, yang disaksikan oleh Senator Dato’ Dr Ahmad Masrizal Muhammad di Shah Alam pada 10 Jun 2022.
Oleh Mohamad Iman

SHAH ALAM 11 Jun – McDonald’s Malaysia berhasrat melabur RM300 juta untuk program-program latihan dan pembangunan bakat-bakat muda di negara ini. 

 

Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatannya, Dato’ Azmir Jaafar berkata, McDonald's Malaysia mahu memainkan peranannya sebagai sebuah syarikat terkemuka dengan menyokong dan melancarkan lagi pelaksanaan agenda negara melibatkan pembangunan belia.

 

Tahun ini kata beliau, McDonald’s terus menumpukan perhatiannya ke arah kebolehpasaran belia, dan menyasarkan untuk menyediakan 50,000 peluang pekerjaan baharu menjelang 2026.

 

"Dengan pertumbuhan perniagaan McDonald’s di negara ini, kami membuka banyak peluang baharu untuk bakat-bakat muda.

 

"Kami komited untuk mengembangkan dan membangunkan tenaga kerja kami, memandangkan mereka adalah keutamaan jenama kami,” kata beliau. 

 

Azmir berkata demikian pada majlis memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) antara McDonald's Malaysia dengan Universiti Teknologi MARA (UiTM) bagi merasmikan kerjasama untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan melalui Program Perantis McDonald’s pada Jumaat.

 

Kedua-dua pihak menjalin kerjasama dalam tiga program iaitu Management Apprentice Program (MAP), Graduate Employability Program (GEP) dan Internship Pogram (IP).

 

Yang turut hadir ialah Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Senator Dato’ Dr Ahmad Masrizal Muhammad yang menyaksikan majlis itu di Dewan Anjung Seri Budiman, UiTM Shah Alam.


 

Dato’ Azmir Jaafar
                                                    Dato’ Azmir Jaafar

 

 

Kerjasama itu termeterai menerusi memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani antara UiTM diwakili Naib Canselornya, Profesor Datuk Ts. Dr. Roziah Mohd Janor dan Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni (ICAN) UiTM, Profesor Dr. Mohamad Hariri Abdullah.

 

McDonald’s Malaysia pula diwakili Dato’ Azmir dan Pengarah Kanan Undang-Undang dan Francais, Hilmy Sulaiman.

 

UiTM dan McDonald’s Program perantis ini khususnya, bermatlamat menyediakan peluang kerjaya untuk para pelajar daripada pelbagai latar belakang, termasuk pelajar B40 dan individu berkeperluan khas.

 

Selain mengukuhkan kebolehpasaran graduan, ia turut menyediakan pelajar dengan peluang kerjaya yang bermakna. 

 

Untuk menggalakkan kebolehpasaran belia dan graduan, McDonald’s turut menawarkan beberapa program pekerjaan seperti Program Perantisan Vokasional McDonald’s di bawah Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN), selain MAP, GEP dan IP.

 

Sehingga 2021, McDonald’s Malaysia telah melatih lebih 900 graduan kolej dan universiti di bawah program MAP, GEP dan IP, yang kini sedang bekerja dalam industri hospitaliti. 

 

UiTM sebagai institusi pengajian tinggi terbesar di Malaysia sentiasa bekerjasama dan mengambil pendekatan proaktif dengan pihak industri dalam memaksimumkan inisiatif kebolehpasaran graduan.


 

Profesor Datuk Ts. Dr. Roziah Mohd Janor
                         Profesor Datuk Ts. Dr. Roziah Mohd Janor

 


Menurut Profesor Datuk Ts. Dr. Roziah, Program Perantis McDonald’s dan UiTM amat selari dengan agenda terkini UiTM bagi memperkukuhkan inisiatif kebolehpasaran graduan agar senada dengan Pelan Strategik Kebolehpasaran Graduan 2021-2025 Kementerian Pengajian Tinggi, di mana visinya adalah ke arah graduan holistik dan seimbang dengan nilai kebolehpasaran global.  

 

Majlis yang dihadiri kira-kira 300 peserta itu turut diserikan dengan kehadiran 20 anak yatim dari Pusat Jagaan Cahaya Kasih Bestari / Rumah Amal Bestari Shah Alam dalam program komuniti ‘Raikan Senyuman’ kerjasama antara UiTM dan Ronald McDonald House Charities (RMHC) yang turut diadakan serentak. - DagangNews.com