KUALA LUMPUR 4 Feb - MCIS Insurance Berhad (MCIS Life) memberikan penajaan kepada Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) iaitu sebuah trak khas bernilai RM400,000 untuk dijadikan sebagai klinik bergerak bersempena dengan Hari Kanser Sedunia 2022.
Trak yang dibina khusus dikenali sebagai ‘Purple Truck’ dijangka mula beroperasi pada Mei 2022, sepanjang lokasi luar bandar di seluruh Semenanjung Malaysia.
Trak yang dilengkapi peralatan perubatan serta kakitangan termasuk seorang doktor, dua jururawat dan lima sukarelawan akan digunakan untuk tujuan vaksinasi Covid-19 yang menyasarkan warga emas serta orang ramai yang mempunyai batasan pergerakan yang sebahagian besarnya tinggal di luar Lembah Klang.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan MCIS Life, Prasheem Seebran berkata, penduduk di Malaysia seharusnya menerima perkhidmatan penjagaan kesihatan yang wajib tanpa mengira kedudukan ekonomi
"Akses kepada vaksinasi COVID-19 adalah kritikal bagi mereka yang tinggal di lokasi luar bandar serta mereka yang menghadapi cabaran mobiliti fizikal," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Pengarah Urusan NCSM, Dr. M. Murallitharan berkata, inisiatif itu juga menunjukkan cara MCIS Life dapat memainkan peranan lebih besar dalam menjaga kesejahteraan penduduk luar bandar.
Ia juga akan menawarkan penilaian pra-vaksinasi, kaunseling dan pengambilan persetujuan, serta pemberian vaksinasi dan pemerhatian selepas vaksinasi untuk memantau sebarang Kejadian Advers Selepas Imunisasi (AEFI).
Di luar program vaksinasi, Purple Truck juga akan menjadi 'Trak Kesedaran Pendidikan Kesihatan dan Saringan Kesihatan Kanser Mudah Alih' untuk menyediakan pemeriksaan saringan komuniti, dan akan memberi tumpuan kepada tiga jenis kanser tertinggi di Malaysia - payudara, serviks dan kolorektal.
Selain itu, penduduk komuniti juga akan diberikan pemeriksaan ketinggian, berat badan, BMI, tekanan darah dan pemeriksaan kesihatan am secara percuma. - DagangNews.com