MCMC bina menara komunikasi di Muarai Sawai, Matu di Sarawak hujung tahun ini | DagangNews Skip to main content

MCMC bina menara komunikasi di Muarai Sawai, Matu di Sarawak hujung tahun ini

CYBERJAYA 2 Julai - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengenal pasti kawasan di Muara Sawai, Matu di Sarawak untuk dibina menara komunikasi bagi capaian internet di bawah program JENDELA Fasa 1.

 

Menurut suruhanjaya itu, pembinaan menara tersebut melengkapi menara komunikasi sedia ada yang telah beroperasi meliputi sembilan menara komunikasi komersial serta tujuh menara komunikasi yang telah dibina di bawah program Pemberian Perkhidmatan Sejagat (PPS) kelolaan MCMC di daerah Matu.

 

Selain itu, sebanyak 20 stesen pemancar komunikasi sedia ada di daerah Matu kini dalam proses naik taraf kepada perkhidmatan 4G. Inisiatif menaik taraf stesen pemancar sedia ada ini dijangka selesai menjelang
penghujung tahun 2021.

 

Bagi perancangan jangka panjang di bawah pelan JENDELA Fasa 1 pula, sebanyak sembilan menara komunikasi baharu secara keseluruhan telah dirancang untuk dibina di sekitar daerah Matu termasuk satu di kawasan Muara Sawai, seperti yang disebutkan di atas. 

 

"Pembinaan kesemua menara komunikasi berkenaan dijangka bermula pada suku ketiga 2021, setelah proses penilaian tender dimuktamadkan oleh MCMC," kata MCMC dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Selain itu kata MCMC, perkhidmatan jalur lebar mudah alih melalui satelit juga telah dikenal pasti bagi kawasan Muara Sawai dan kerja-kerja pembinaan dijangka bermula pada suku ketiga 2021.

 

matu
Kawasan Matu-Daro terletak di Bahagian Mukah, Sarawak.

 

Sehubungan itu, MCMC akan terus menjalankan pemantauan terhadap tindakan-tindakan yang telah diambil dan sekiranya perlu, mengambil langkah susulan agar masalah capaian Internet di seluruh negara dapat ditangani dengan menyeluruh sekaligus membolehkan Internet dinikmati oleh semua rakyat. 

 

Sementara itu, mengenai masalah capaian internet di Kampung Sawai, Matu pula, MCMC akan mengadakan lawatan ke lokasi aduan pada 3 Julai ini bagi mendapatkan gambaran sebenar serta mencari jalan penyelesaian kepada masalah yang dihadapi oleh penduduk setempat. - DagangNews.com