MDEC anjur Karnival #mydigitalmaker 2022 pupuk bakat belia bagi mendepani perkembangan ekonomi digital | DagangNews Skip to main content

MDEC anjur Karnival #mydigitalmaker 2022 pupuk bakat belia bagi mendepani perkembangan ekonomi digital

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 19 Okt - Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) menganjurkan Karnival #mydigitalmaker 2022 buat kali keenam untuk memupuk kemahiran dan bakat dalam kalangan belia demi mendepani ekonomi digital Malaysia yang semakin berkembang.

 

Karnival #mydigitalmaker 2022 yang sedang berlangsung dari 16 Oktober hingga 13 November 2022 merangkumi lima zon di seluruh negara bermula dengan negeri-negeri di Pantai Timur Semenanjung Malaysia diikuti Sabah dan Sarawak, Utara, Selatan sebelum diakhiri dengan edisi kemuncak di Kuala Lumpur.

 

Direka untuk memberikan pengalaman digital secara langsung kepada pelajar serta warga pendidik, karnival tersebut menawarkan pelbagai program yang memberi fokus kepada teknologi digital termasuk bengkel kemahiran digital, sesi kesedaran kerjaya, pertandingan dan pameran yang meliputi pengekodan, animasi, teknologi dron, robotik dan banyak lagi.

 

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mahadhir Aziz berkata, MDEC akan terus melaksanakan mandatnya untuk melengkapkan rakyat Malaysia dengan kemahiran digital melalui program yang berteraskan teknologi dan sumber digital khusus kepada pelajar, ibu bapa dan pendidik, dalam format maya dan fizikal.

 

“Karnival yang dilaksanakan di bawah Gerakan #mydigitalmaker ini telah berjaya memberi kesedaran tentang kepentingan inovasi dan kreativiti digital kepada lebih 100,000 individu.

 

"MDEC akan terus komited dalam membantu generasi muda untuk mengasah bakat dan kemahiran mereka agar mempunyai kelebihan untuk merebut peluang-peluang dalam ekonomi digital, selaras dengan inisiatif strategik nasional Malaysia Digital, dibawah MDEC," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Karnival #mydigitalmaker tahun ini dianjurkan bersama dengan lima rakan strategik iaitu Jazari Robot Resources, Synapze Sdn Bhd, Kerajaan Negeri Kedah melalui Kedah Digital Center & Kulim Technology Park Corporation (KTPC), Universiti Teknikal Malaysia Melaka dan Aerocentric Events.

 

Gerakan #mydigitalmaker adalah sebuah inisiatif bermodelkan awam-swasta-akademik dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang dilancarkan selaras dengan matlamat Malaysia untuk melahirkan bakat digital yang kompeten bagi memacu ekonomi digital di masa hadapan.

 

Setakat ini, Gerakan #mydigitalmaker telah memberi manfaat kepada lebih 2 juta murid sekolah yang telah menyertai program-program seperti integrasi pemikiran dan pengekodan dalam kurikulum, aktiviti ko-kurikulum yang dianjurkan di sekolah serta aktiviti tambahan kurikulum. - DagangNews.com