MDEC bekerjasama lancar Program Inovator Digital untuk bakat muda | DagangNews Skip to main content

MDEC bekerjasama lancar Program Inovator Digital untuk bakat muda

Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Mahadhir Aziz

 

 


KUALA LUMPUR 5 Okt. - Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia dengan kerjasama Kementerian Pendidikan (KPM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melancarkan Program Inovator Digital (DIP), program pendidikan menengah pertama untuk penginovasi muda yang berbakat.

 

Program ini memberi fokus kepada pembangunan penginovasi masa depan menerusi kurikulum Pembelajaran Berasaskan Projek (PBL) untuk memastikan pembangunan bakat teknologi yang konsisten untuk memenuhi keperluan ekonomi digital.

 

Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Mahadhir Aziz berkata, DIP adalah inisiatif penting yang berperanan merealisasikan matlamat dalam Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDigital) untuk melahirkan pencipta dan penginovasi digital.

 

"Pelaksanaan program pendidikan menengah untuk murid pintar, yang mengguna pakai faktor utama kejayaan program Digital Ninja, tambahan kepada libat urus mampan antara murid, guru dan mentor industri, akan membantu untuk memupuk lebih ramai penginovasi di negara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Pelancaran program in telah dirasmikan secara maya oleh Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin.

 

Sebahagian daripada usaha berterusan MDEC untuk mendorong peningkatan asas, kemahiran dan pengetahuan digital, DIP merupakan program penting dalam usaha untuk memperkenalkan arah tuju teknologi digital ke dalam kurikulum pendidikan, selaras dengan Gerakan #SayaDigital.

 

Gerakan #SayaDigital bertujuan untuk menambah baik kemahiran rakyat Malaysia untuk berjaya dalam ekonomi digital dengan mewujudkan kesedaran mengenai gaya hidup pintar, peluang sama rata dan teknologi digital kepada komuniti bandar dan luar bandar.

 

Dilengkapi dengan Ruang Pencipta Digital yang canggih, DIP dapat memupuk kreativiti para murid untuk menyelesaikan masalah terkini melalui teknologi digital dengan menyediakan lebih banyak peluang PBL dan bimbingan untuk memupuk kemahiran keusahawanan.

 

Selain itu, para murid juga didedahkan dengan program terkini dan kemahiran berkaitan lain yang menyentuh berkenaan Sains Data, Kecerdasan Buatan (AI), Kelesamatan Siber dan Pembangunan Aplikasi Mudah Alih menerusi perjalanan pembelajaran di Kolej GENIUS@Pintar Negara, UKM.

 

Sementara itu, Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Mohd Ekhwan Toriman berkata, DIP merupakan kerjasama antara UKM dan industri, seperti MDEC dalam usaha untuk mengukuhkan budaya digital berdasarkan 5 nilai teras UKM. 

 

“Saya berharap kerjasama ini akan menyumbang kepada transformasi pendidikan nasional. UKM akan menyokong hasrat ini dengan mengasah bakat berkualiti bagi menyediakan pakar ICT untuk pembangunan ekonomi digital negara pada masa hadapan," katanya. - DagangNews.com