KUALA LUMPUR 2 Julai - Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) menyifatkan pelancaran Dasar Revolusi Perindustrian Ke-4 (4IR) amat penting dalam memacu perjalanan transformasi digital di negara ini.
Pengerusi MDEC, Datuk Wira Dr Rais Hussin Mohamed Ariff berkata, 4IR merupakan teknologi untuk berkhidmat dan menyumbang kepada manfaat rakyat dan negara sejajar dengan visi Malaysia 5.0.
Katanya, ini dapat memberikan peluang digital yang adil kepada rakyat dan perniagaan, serta selaras dengan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030.
"MDEC mengalu-alukan dasar penting ini yang akan membantu negara kita dalam perjalanan ke arah memanfaatkan teknologi 4IR.
"Di MDEC, kami telah melaksanakan pelbagai inisiatif berkaitan dengan bukti kejayaan yang jelas melibatkan projek perintis AgTech," katanya dalam kenyataan hari ini.
Dasar 4IR semalam diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
Dasar itu mengandungi 4 teras utama yang menyasarkan 3 kumpulan, iaitu masyarakat, perniagaan dan kerajaan bagi mempertingkatkan keupayaan Malaysia, sekali gus memacu pertumbuhan ekonomi mampan dan berdaya saing.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Surina Shukri berkata, MDEC menyokong penuh dasar ini dan akan terus mempromosi, meningkatkan proses pengembangan dan penggunaan teknologi 4IR di seluruh industri tempatan.
"Semua bahagian dalam MDEC bergerak selaras dengan polisi ini dan agensi ini berharap agar dapat bekerjasama dengan pelbagai pihak berkepentingan untuk mendorong dan memacu negara ke hadapan.
"Langkah ini seterusnya memanfaatkan ekonomi digital selaras matlamat Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDigital) dan menjadikan Malaysia sebagai Nadi Digital ASEAN,” katanya.
MDEC akan terus mendorong dan menyokong penggunaan digital dengan menonjolkan teknologi 4IR dalam bidang kemahiran, kesalinghubungan, tadbir urus dan inovasi.
Salah satu inisiatif utama yang dilancarkan oleh MDEC pada tahun lalu ialah DataKITA, iaitu inisiatif untuk meningkatkan kesediaan, keupayaan akses dan kegunaan data dalam masyarakat dan ekonomi Malaysia.
Ini akan dicapai melalui empat tonggak utama iaitu pengetahuan, infrastruktur, bakat dan tindakan.
DataKITA akan membantu perniagaan untuk memulakan perjalanan transformasi data masing - masing melalui pendekatan berstruktur dengan memanfaatkan literasi data, analisis data, pentadbiran, perkongsian data dan kecerdasan buatan (AI).
Mengenai penggunaan internet kebendaan (IoT), AI dan data raya (BDA) pula, MDEC telah menjalankan projek perintis yang berjaya di seluruh negara dalam bidang pertanian melalui inisiatif eLadang AgTech.
Inisiatif ini menyaksikan petani menggunakan sistem fertigasi berkemampuan IoT yang telah membantu mereka mengurangkan penggunaan baja bulanan sebanyak 20%, menurunkan keperluan tenaga kerja bulanan sebanyak 25% dan meningkatkan kualiti hasil (cili Gred A) hingga 90%.
Sementara itu, inisiatif Digital AgTech oleh MDEC seperti program eLadang telah berjaya memberi manfaat kepada 548 peserta sejak Disember 2019. - DagangNews.com