MDEC umum penstrukturan semula organisasi utama | DagangNews Skip to main content

MDEC umum penstrukturan semula organisasi utama

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 16 Nov. - Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) mengumumkan penstrukturan semula organisasi utama untuk membentuk semula peranan mereka sebagai peneraju ekonomi digital Malaysia .

Penstrukturan itu dilakukan menerusi pelantikan empat perintis industri kepada Lembaga Pengarah MDEC sekali gus menekankan lagi komitmen kepimpinan perbadanan itu untuk menawarkan lebih banyak manfaat, menangani gangguan norma baharu dan menambah baik standard pentadbirannya. 

Pembentukan semula MDEC bakal memperkenalkan empat bidang fokus strategik dipacu oleh Majlis Operasi MDEC yang mempunyai lima bahagian.

Empat bidang fokus itu adalah MDEC Digital, Perniagaan Dipacu Digital, Pelaburan Digital dan Rakyat Malaysia Berkemahiran Digital. 

“Kelima-lima ketua bahagian dalam Majlis Operasi MDEC akan melaporkan kepada Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Surina Shukri dan bekerja rapat dengan fungsi transformasi dan korporat. 

Melaksanakan struktur kepemimpinan yang betul, bernilai tinggi dan baharu adalah kunci untuk menjalankan tugas dengan pantas, memperluas jangkauan massa dan mewujudkan kesan sosio-ekonomi yang dapat diukur pada masa depan digital pertama,” kata MDEC. 

Kelima-lima bahagian itu dijangka bekerjasama secara rapat dan mewujudkan pasukan tangkah untuk menyediakan penyelesaian lancar dan pantas bagi merangkul peluang dan menangani cabaran. 

Jelas MDEC, keempat-empat fokus strategik dan lima cabang berkenaan penting dalam menjadikan Malaysia sebagai “Pusat Digital ASEAN”.

“Kita memasuki dekad kedua abad ke-21 dan kita harus menghadapi kesan besar dari transformasi digital yang meningkat dan industri revolusi keempat (IR4.0). Ia mempersoalkan budaya sedia ada, cara berfikir dan perbuatan, komunikasi serta model pentadbiran dan pengurusan.

 

Rais Hussin Mohamed Ariff
Rais Hussin Mohamed Ariff

 

“Bagaimanapun, rakyat akhirnya menjadi pemacu transformasi digital. Saya melihat sebuah Malaysia yang meletakkan masyarakat sebagai pusat teknologi IR4.0 dan penubuhan semula MDEC akan membantu kami menjadikan visi Malaysia 5.0 sebagai sebuah realiti,” kata Pengerusi MDEC, Datuk Dr. Rais Hussin Mohamed Ariff.

MDEC akan memperkenalkan Metrik Penilaian IOOI (Input, Output, Outcome, Impact) dalam merancang untuk membimbing peruntukan dan penggunaan sumber masa depan selain mengukur secara berkesan sumbangan sosio-ekonomi organisasi kepada masyarakat.

Senada Rais Hussin, Surina menjangkakan pembentukan semula MDEC bakal memberi impak positif kepada ekosistem digital.

 

Surina Shukri
Surina Shukri

 

“Ini membolehkan kami melaksanakan lebih banyak perkara dengan cepat, meletakkan MDEC di dalam kedudukan lebih baik untuk menyokong masyarakat, industri, pelabur dan kerajaan selain menangani kekurangan yang ada dalam pentadbiran kami.

“Kami bergerak ke arah #perubahan dan tidak akan berpatah baik. Majlis Operasi MDEC akan lebih tertumpu, tangkas dan kolaboratif dalam melaksanakan tugas signifikan,” kata Surina. - DagangNews.com