MDV salur peruntukan RM20 juta pacu pertumbuhan sektor teknologi | DagangNews Skip to main content

MDV salur peruntukan RM20 juta pacu pertumbuhan sektor teknologi

KUALA LUMPUR 3 Mac - Peruntukan sebanyak RM20 juta kepada Malaysia Debt Ventures Bhd (MDV) menerusi Belanjawan 2023 yang diumumkan baru-baru ini akan disalurkan untuk program hutang terokanya bagi syarikat pemula niaga dan berasaskan teknologi.

 

Dalam satu kenyataan, MDV berkata peruntukan itu juga akan menyokong Rangka Kerja Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (MySTIE) Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.

 

Ketua Pegawai Eksekutif MDV, Nizam Mohamed Nadzri berkata, peranan MDV yang sangat strategik dalam ruang pembiayaan teknologi telah menyumbang kepada pembinaan ekonomi yang lebih dinamik, inovatif, inklusif dan mampan untuk Malaysia selaras dengan hasil yang dihasratkan Belanjawan 2023.

 

“Walaupun kami telah membantu secara kumulatif lebih 1,000 syarikat teknologi yang berinovasi dan berpotensi tinggi dengan agregat dana RM4.1 bilion sejak penubuhan kami lebih dua dekad lalu, MDV kekal komited untuk memangkin pertumbuhan usahawan teknologi tempatan demi kesejahteraan dan pembangunan negara yang berterusan,” katanya.

 

Pembiayaan tambahan daripada Belanjawan 2023 itu  akan memperluaskan lagi program dan inisiatif pembiayaan hutang usaha niaga perintis MDV dan memudahkan pembinaan model pembiayaan mampan untuk hutang teroka melalui pasaran swasta.

 

Sehingga kini,  lebih daripada RM178.0 juta pembiayaan telah diluluskan kepada 105 syarikat pemula niaga  teknologi di bawah program hutang teroka MDV, menyumbang kepada pertumbuhan seterusnya dalam hasil dan penilaian syarikat. - DagangNews.com