‘MeetME’ bantu usahawan dapat khidmat nasihat perniagaan dalam talian | DagangNews Skip to main content

‘MeetME’ bantu usahawan dapat khidmat nasihat perniagaan dalam talian

‘MeetME’

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 19 Julai - Portal MyAssist MSME yang dilancarkan pada 30 Jun baru-baru ini adalah salah satu inisiatif kerajaan untuk memudahkan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) mendapatkan maklumat perniagaan, khidmat nasihat dan peluang pemasaran secara dalam talian ketika negara masih berdepan penularan pandemik COVID-19.

 

Portal berkenaan merangkumi empat komponen utama termasuk MeetMe. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia, Rizal Nainy berkata, inisiatif berkenaan adalah bagi meningkatkan sistem penyampaian dan capaian bantuan secara khidmat nasihat kepada PKS.

 

"Portal MyAssist MSME yang dibangunkan oleh SME Corp. Malaysia ini dilihat dapat menyuntik nafas baru serta membantu PKS yang terkesan akibat pandemik COVID-19. 

 

"Pembangunan portal ini adalah sejajar dengan inisiatif SME Corp. Malaysia dalam usaha menarik lebih ramai PKS dan usahawan agar mengadaptasi pendigitalan secara tidak langsung," katanya dalam satu kenyataan.

 

‘MeetME’

 

MeetMe membolehkan PKS dari seluruh negara mengakses kemudahan khidmat nasihat secara dalam talian memandangkan keadaan semasa yang membataskan pergerakan. 

 

PKS boleh menggunakan platform MeetMe itu bagi mengutarakan pelbagai persoalan kepada Kaunselor Perniagaan SME Corp. Malaysia seperti topik berkaitan pengurusan kewangan, pemasaran, undang-undang, pembiayaan, eksport, pengurusan tenaga kerja, operasi, pensijilan, penjenamaan, pembungkusan, pengurusan harta intelek dan banyak lagi.

 

Dalam fasa permulaan itu, seramai 50 Kaunselor Perniagaan SME Corp. Malaysia bersedia untuk membantu PKS yang menggunakan platform MeetMe bagi menangani isu perniagaan masing-masing secara dalam talian.

 

PKS hanya memerlukan tiga langkah mudah iaitu mendaftar sebagai pengguna platform MyAssist MSME, klik butang MeetMe untuk membuat temujanji secara dalam talian dengan Kaunselor Perniagaan dan akhir sekali memilih tarikh serta masa yang bersesuaian.

 

Lebih 350 slot janji temu telah dibuka kepada PKS melalui Portal MyAssist MSME itu sejak MeetMe dilancarkan.

 

Dalam kenyataan yang sama, beliau turut menggesa PKS agar mengadaptasi perniagaan mengikut norma baharu untuk kekal relevan pasca COVID-19.

 

"PKS perlu memanfaatkan penggunaan teknologi dan pendigitalan sebagai pemangkin bagi meningkatkan produktiviti dan kecekapan; meningkatkan kemahiran dan keupayaan sumber manusia, selain mengukuhkan kedudukan aliran tunai perniagaan," ujarnya lagi. - DagangNews.com