MEF sambut baik keputusan tangguh pelaksanaan waktu kerja lebih pendek ke tahun depan | DagangNews Skip to main content

MEF sambut baik keputusan tangguh pelaksanaan waktu kerja lebih pendek ke tahun depan

Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 30 Ogos - Keputusan kerajaan menangguhkan pelaksanaan Pindaan Akta Kerja 1955 (EA 1955) dari 1 September ini kepada 1 Januari 2023 akan membolehkan majikan mempunyai lebih banyak masa dalam memastikan pelaksanaannya dijalankan dengan lebih teratur dan lancar, kata Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF).

 

Presiden MEF Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata, pelaksanaan pindaan EA 1955 perlu dilakukan dengan betul kerana ia akan melibatkan semua pekerja di sektor swasta, yang dianggarkan lebih 10 juta pekerja.

 

Beliau berkata sehubungan itu perancangan yang tersusun  bagi pelaksanaan pindaan akta itu akan mengambil masa, kerana kejayaan pelaksanaan apa jua rancangan adalah bergantung dalam butirannya.

 

Pada 26 Ogos lepas Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan mengumumkan bahawa penguatkuasaan pindaan Akta Kerja 1955 untuk memperuntukkan waktu kerja yang lebih pendek telah ditangguhkan kepada 1 Januari 2023.

 

Selain mengurangkan waktu bekerja daripada 48 kepada 45 jam seminggu, pindaan itu juga menyaksikan peningkatan jumlah cuti bersalin daripada 60 hari ke 98 hari, dan cuti paterniti daripada tiga hari kepada tujuh hari.

 

Syed Hussain berkata pindaan itu mempunyai implikasi kos yang besar sehingga RM110 bilion setahun kepada perniagaan dan ia memerlukan perniagaan mempunyai garis panduan dasar dan prosedur untuk dirangka bagi pematuhan.

 

“Pihak industri menghadapi kekurangan kira-kira 1.2 juta pekerja, dan ketibaan kira-kira 47,000 pekerja asing baharu setakat ini sememangnya tidak mencukupi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.


 

Presiden MEF Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman
                Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman

 


Beliau turut merakamkan penghargaan terhadap langkah proaktif Kementerian Sumber Manusia bagi memastikan permohonan pekerja asing terus dibuka walaupun semasa sistem memproses permohonan pekerja asing baharu sedang dirombak.

 

Beliau berkata usaha menangani kekurangan tenaga kerja adalah  penting untuk pemulihan industri dan memberi industri sedikit ruang akan membantu menyelesaikan kekurangan tenaga kerja.

 

"Keputusan kementerian juga akan meningkatkan keyakinan pelabur, tempatan dan asing, di samping mengekalkan mengekalkan daya saing," tambahnya. - DagangNews.com