KUALA LUMPUR 14 Sept. - Menang Corp (M) Bhd. menerusi maklumannya di Bursa Malaysia hari ini membatalkan cadangan penempatan persendirian yang pernah diumumkan 9 April lalu.
"Bagi pihak lembaga pengarah, Malacca Securities memaklumkan, setelah mempertimbangkan dengan teliti, pihak lembaga pengarah mengambil keputusan untuk mengumpul dana bagi membayar pinjaman melalui cara lain dan membatalkan cadangan penempatan persendirian," katanya.
Pada April lalu, Menang Corp mengumumkan akan mengeluarkan 48.08 juta saham atau 10% daripada modal sahamnya kepada pelabur pihak ketiga dengan harga indikatif pada 44.5 sen.
Langkah tersebut diambil bagi mengumpul modal sebanyak RM21.4 juta yang akan digunakan untuk membiayai bayaran hutang kumpulan.
Menang Corp. terlibat dalam pembangunan dan penyewaan hartanah serta menyediakan perkhidmatan pengurusan merancang untuk menggunakan RM21.3 juta daripada hasil tersebut untuk mengurangkan pinjaman berjumlah RM557.18 juta setakat 31 Disember 2020.
Hasil daripada penempatan itu juga akan menyaksikan modal saham kumpulan berjumlah 528.88 juta manakala jumlah pinjamannya turut berkurangan kepada RM562.8 juta.
Ini membolehkan nisbah gearannya berkurangan kepada 1.64 kali, berbanding 1.81 kali bagi tahun kewangan 2020.
Setakat 2.12 petang, saham Menang Corp susut 1.5 sen atau 2.91% kepada 50 sen dengan 17,400 saham diniagakan. - DagangNews.com