Menteri Kerja Raya diminta `turun padang' pantau projek Lebuh raya Pan Borneo | DagangNews Skip to main content

Menteri Kerja Raya diminta `turun padang' pantau projek Lebuh raya Pan Borneo

ANTARA kawasan pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo yang digelar penduduk tempatan `Pain-Borneo' di Sarawak. - Gambar Hiasan

 

 

SIBU 27 Julai – Keadaan tidak memuaskan hati Lebuh raya Pan Borneo yang sedang dalam pembinaan, memerlukan penambahbaikan bagi mengelak kemalangan jalan raya daripada berlaku, kata Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing.

 

Menurut beliau, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof hendaklah menggunakan kuasa yang ada untuk segera menambah baik keselamatan projek tersebut.

 

"Itu sahaja cara orang ramai akan dapat menyakinan keikhlasan kerajaan memberi khidmat dan menangani isu-isu rakyat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Tiong berkata, sehingga ke hari ini, tidak terdapat langkah-langkah keselamatan sewajarnya dibuat di kawasan sedang dalam pembinaan, dengan pengurusan jalan yang tidak terurus, dan lampu serta papan tanda amaran tidak wujud untuk memberitahu pemandu.

 

“Lubang-lubang jalan raya adalah merata-rata dan banyak tanah dan pasir di atas jalan seolah-olah ia kawasan perang pula,” kata beliau dalam kenyataan di sini hari ini, lapor The Star.

 

"Sememangnya cukup berbahaya untuk memandu di kawasan itu pada siang hari, apatah lagi pada waktu malam.

 

“Nyawa pemandu bagai di hujung tanduk, mereka boleh mati bila-bila masa kecuali mereka benar-benar memberi sepenuh perhatian semasa memandu,” katanya.

 

Menurutnya, beliau sudah berkali-kali mempersoalkan mengapa kawasan lencongan tidak dibuat permukaan jalan yang sewajarnya untuk laluan trafik.

 

 Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing
Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing

 

"Kontraktor tidak mengendahkan sama sekali untuk meletakkan tar pada bahagian lencongan, sebaliknya membiarkan saja permukaan berbatu, berpasir yang bila dilalui banyak kenderaan, habuk semua naik menutup pemandangan pemandu,” katanya.

 

Beliau menegaskan projek Lebuh raya Pan Borneo tidak boleh dibenarkan terus berjalan dalam keadaan sedemikian.

 

Beliau meminta Menteri Kerja Raya agar "turun padang" bagi menunaikan tugasnya dan memantau dengan teliti pembangunan projek agar ia dilakukan dengan teratur dan selamat.

 

"Kontraktor lebuh raya menikmati ganjaran tetapi tiada sesiapa pun yang melalui jalan itu sekarang dengan fikiran aman sedangkan kos penyenggaran dibayar menggunakan duit rakyat,” ujarnya. – DagangNews.com