Mercury Securities kekal saranan 'beli' dengan TP RM2.00 untuk SKP Resources | DagangNews Skip to main content

Mercury Securities kekal saranan 'beli' dengan TP RM2.00 untuk SKP Resources

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 12 Dis - Mercury Securities mengekalkan saranan 'beli' untuk SKP Resources Berhad dengan harga sasaran (TP) RM2.00 sesaham berdasarka rancangan pengembangan kumpulan dan pembayaran dividen yang menarik.

 

Firma itu berkata, kumpulan itu merupakan antara pengeluar kontrak bersepadu terbesar dan paling pesat berkembang di Malaysia, memenuhi keperluan Industri Elektrik dan Elektronik (E&E), perindustrian, automotif, makanan dan minuman. 

 

Katanya, selain menduduki tempat ke-46 dalam 50 Penyedia EMS Teratas Pembuatan Market Insider (MMI) terbaharu pada 2021, syarikat itu mampu mencapai keputusan cemerlang dengan kadar pertumbuhan tahunan dikompaun (CAGR) empat tahun sebanyak 8.8% dari FY19 hingga FY22.

 

"Ia mencapai rekod keuntungan yang tinggi pada FY22 didorong jualan yang teguh dan kepelbagaian pertumbuhan merentas pelbagai segmen industri iaitu sektor perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS) dan bukan EMS. 

 

"Kami mengunjurkan pendapatan 2HFY23 lebih kukuh berikutan jualan yang lebih tinggi didorong oleh musim perayaan dan pelancaran produk baharu, yang berada di landasan untuk mencapai rekod baharu," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, pada 2022, kumpulan itu melabur kira-kira RM94.39 juta termasuk pembinaan bangunan kilang bertingkat baharu (Loji 5, tapak 5) yang sedang dijalankan di atas sebidang tanah seluas 2.5 hektar di Johor Bahru, dijangka siap sepenuhnya pada Mac 2023.

 

Katanya, penyiapan loji 5, akan menyediakan ruang lantai tambahan seluas 650,000 kaki persegi iaitu 50% lebih daripada ruang lantai sedia ada.

 

"Kilang baharu itu akan menempatkan talian pemasangan baharu dan kemudahan pemasangan papan litar bercetak baharu untuk menampung pertumbuhan dalam tempoh tiga tahun akan datang.

 

"Kumpulan itu juga telah menyelesaikan pengambilalihan satu lagi tanah baharu di Johor Bahru (tapak 6) pada April 2022, yang terletak tidak jauh dari tapak 5 dan Tapak 6 yang baru diperolehi seluas 3.1 hektar yang akan digunakan untuk menampung pertumbuhan dan pengembangan masa depan," katanya. - DagangNews.com