Mercury Securities nilai harga sasaran TT Vision pada 62 sen | DagangNews Skip to main content

Mercury Securities nilai harga sasaran TT Vision pada 62 sen

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 9 Jan - Mercury Securities memberi harga sasaran pada 62 sen terhadap TT Vision Holdings Berhad yang akan disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia. 

 

Saranan itu adalah berdasarkan kepada pendapatan sesaham (EPS) bagi tahun kewangan 2023 (FY23) sebanyak 2.7 sen dan harga perusahaan 23.1 kali sejajar dengan purata pemain industri lain. 

 

Menurut firma itu, harga sasaran itu mewakili pulangan sebanyak 82.4% daripada harga tawaran awam permulaan (IPO). 

 

"Kami menyukai saham itu kerana rekod prestasinya yang kukuh serta bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang kukuh," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

TT Vision baru-baru ini melakukan pelbagai R&D mengenai perkembangan dan peningkatan produk baharu untuk terus membangunkan dan mempertingkatkan ciri peralatan penglihatan mesinnya. 

 

Ini membolehkan syarikat mengikuti perkembangan teknologi terkini dan memenuhi keperluan pelanggannya.

 

Syarikat itu merancang untuk menggunakan hasil IPOuntuk mengukuhkan inisiatif R&D dan menumpukan pada pembangunan produk seperti pengasingan wafer solar dengan keupayaan pemeriksaan dan ujian penglihatan, modul pemeriksaan PL, peralatan dengan keupayaan pemeriksaan dan ujian yang digunakan dalam pengeluaran sel solar dan panel solar Pengimbas TF yang akan membolehkan syarikat mengekalkan daya saingnya di pasaran.

 

Katanya, usaha R&D syarikat juga menghasilkan kelulusan d paten inovasi utiliti yang mana tempoh untuk kedua-dua paten inovasi utiliti itu sah sehingga 2031.

 

"Syarikat itu telah membangun dan menjalin hubungan perniagaan jangka panjang dengan beberapa pelanggan utamanya iaitu Kumpulan A, Kumpulan Maxeon, Hanwha Malaysia, dan Inari Technology Sdn. Bhd. yang telah berurusan dengan kumpulan itu untuk tempoh yang lama.

 

"Syarikat itu juga baru-baru ini memperoleh pelanggan utama baharu seperti Dominant Opto dan Syarikat B yang akan meluaskan pangkalan pelanggannya dan meningkatkan keuntungannya pada masa hadapan," katanya. - DagangNews.com