KUALA LUMPUR 30 Ogos –Untung bersih Mestron Holdings Bhd bagi enam bulan berakhir 30 Jun 2021 (6MFY2021) adalah sebanyak RM1.6 juta, meskipun berdepan dengan persekitaran sukar ekoran pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) dan penutupan ekonomi sepenuhnya (lockdown).
Ia merupakan satu peningkatan yang baik berbanding RM790,000 dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya. Hasil lebih tinggi iaitu RM22.6 juta, mewakili kenaikan 19% berbanding kepada hasil sebanyak RM19.0 juta tahun lalu.
Meskipun penutupan penuh ekonomi pada bulan Jun 2021, bagi Q2FY21, Kumpulan mencatat keuntungan sebanyak RM0.139 juta manakala hasil naik sebanyak 39.9% tahun ke tahun (YoY) kepada RM10.97 juta. Kumpulan berjaya mengekang kerugian dalam tempoh PKP.
Makluman kepada Bursa Malaysia Securities Berhad menjelaskan bahawa peningkatan hasil adalah dipacu daripada pelaksanaan PKP pada Mac tahun lalu yang mana ia telah menyebabkan kelewatan penjadualan penghantaran produk bagi beberapa suku kewangan sebelum ini bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2020.
Jualan produk yang tinggi margin seperti tiang khas (specialty poles) juga telah membantu melonjakkan margin untuk mengekalkan keuntungan dalam tempoh sukuan semasa di bawah kajian.
Pengarah Urusan Mestron, Por Teong Eng berkata, pemulihan yang kukuh dalam prestasi kewangan bagi 6MFY21 disokong oleh permintaan yang tinggi daripada segmen tiang khas dan juga kelewatan dalam beberapa penjadualan penghantaran pada bulan Mac tahun lalu ekoran lockdown pada masa tersebut. Peningkatan permintaan bagi tiang khas yang disokong oleh segmen telekomunikasi telah membantu melonjakkan keuntungan margin.
Disebalik pertambahan kes COVID-19 dan juga pelaksanaan PKP 3.0, Por gembira dengan prospek pertumbuhan Kumpulan berikutan pelaksanaan perkhidmatan 5G di Malaysia yang mana ia bakal meningkatkan permintaan untuk produk tiang khas khususnya tiang tinggi dan juga monopole yang diperlukan untuk pembangunan infrastruktur syarikat telekomunikasi.
Pada bulan Julai 2021, Digital Nasional Bhd telah mengumumkan Ericsson bakal mereka dan membangunkan infrastruktur 5G dengan kos RM11 billion.
Kerajaan telah menetapkan sasaran pelancaran perkhidmatan 5G adalah pada akhir tahun di tiga buah bandar iaitu Kuala Lumpur, Putrajaya dan Cyberjaya. Ia juga bakal melancarkan perkhidmatan 5G di lima buah bandar utama dan daerah di Selangor, Pulau Pinang, Johor, Sabah dan Sarawak menjelang tahun 2022. Pelaksanaan perkhidmatan 5G untuk meliputi 17 bandar dan juga kawasan luar bandar dijangkakan dimulakan selepas tahun 2023.
“Pelaksanaan yang pantas bagi rangkaian 5G di Malaysia adalah pemangkin positif bagi Kumpulan yang mana ia akan memacu permintaan untuk produk tiang khas. Sebagaimana kami telah menyaksikan pada 1HFY21, permintaan yang kukuh untuk produk tiang khas telah meningkatkan keuntungan margin dan juga prestasi kewangan secara keseluruhan. Memandangkan Malaysia adalah salah satu penyumbang terbesar kepada hasil Kumpulan, iaitu mewakili 93 peratus daripada jumlah hasil Kumpulan, permintaan kukuh adalah daripada produk tiang khas yang akan membantu menggalakkan pertumbuhan pendapatan pada masa depan,” jelas Por.
Menurut Por, pendapatan Kumpulan dalam masa terdekat juga akan kekal kukuh dipacu daripada tempahan buku yang menggalakkan, yang mana ia melebihi 8 bulan perolehan Kumpulan.
“Kami optimistik dan berhati-hati terhadap prospek Kumpulan, tetapi kami tidak boleh menolak potensi ekoran pelaksanaan PKP 3.0 terhadap pengeluaran kami. Ia mungkin akan memberi kesan kepada pelaksanaan perkhidmatan 5G,” kata beliau. - DagangNews.com