KUALA LUMPUR 13 Ogos - Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menggesa para pelabur untuk terlibat dengan pemula niaga tempatan bagi menginovasi proses serta meneroka ke dalam perniagaan baharu.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan Pelaburan), Khairuddin Abdul Rahim berkata, untuk mendorong pertumbuhan perniagaan agar terus relevan dalam normal baharu, pemimpin perniagaan termasuk pengusaha kecil dan sederhana (PKS) perlu menerapkan inovasi secara kreatif ke dalam model perniagaan mereka.
"Pemberian Dana Strategik Domestik adalah inisiatif MIDA untuk mendukung syarikat milik Malaysia ke arah meningkatkan rantaian nilai dan menjadi lebih kompetitif dalam ekosistem global.
"Kami berharap melalui kemudahan ini, syarikat-syarikat Malaysia tidak akan ketinggalan selama wabak ini belum mereda.
"Sebaliknya, mereka harus merebut peluang dalam tempoh ini bagi menghidupkan kembali penawaran dan kemampuan mereka," katanya semasa berucap ketika merasmikan webinar ‘Start- up Pitching Session MIDA-Cyberview Series 1/2021’ pada Khamis, lapor Bernama.
Sesi yang bertemakan "Penggunaan Teknologi Terhadap Industri", merupakan kolaborasi penting antara MIDA dan Cyberview Malaysia untuk mempromosikan hubungan pemula niaga tempatan dengan peneraju industri serta pelabur aktif.
Ia memaparkan pembentangan daripada pemula niaga baharu seperti Move Robotic, Synapse Innovation, VITA, My Conceptual Robotics, Urban Farm Tech, TrackerHero dan MEDKAD.
Webinar itu telah menarik lebih daripada 300 peserta termasuk pengeluar, penyedia perkhidmatan dan bakal pelabur.
Selain daripada apa yang MIDA tawarkan, Ketua Bahagian Pembangunan Hab Teknologi Cyberview Malaysia, Shafinaz Salim menjelaskan program Cyberview Living Lab membolehkan perniagaan memanfaatkan bandar Cyberjaya sebagai bukti pengujian konsep dan inisiatif perintis sebelum pengkomersialan penyelesaian mereka.
"Inisiatif kami dirancang bagi menyokong serta membimbing pemula niaga yang tertumpu pada penciptaan nilai dalam ekonomi digital masa kini.
"Sebilangan alumni Cyberview Living Lab kami terus memainkan peranan penting dan secara aktif menyumbang kepada ekosistem teknologi," katanya.
Sebagai pemaju hab teknologi untuk Cyberjaya, Shafinaz berkata, Cyberview komited untuk membina landasan pelancaran yang bernilai tinggi untuk perniagaan yangingin mengubah idea mereka menjadi produk yang berdaya maju dan inovatif. - DagangNews.com