MIDF Research kekal positif terhadap pemulihan sektor automotif | DagangNews Skip to main content

MIDF Research kekal positif terhadap pemulihan sektor automotif

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 20 Okt - MIDF Research kekal positif terhadap sektor automotif dengan segmen domestik semakin menunjukkan tanda-tanda pemulihan.

 

Firma itu berkata, walaupun kadar dasar semalaman (OPR) semakin normal dan inflasi lebih tinggi (dalam konteks Malaysia ia lebih terkawal) prospek sektor itu disokong oleh tempahan yang kukuh selain pemulihan pasaran tenaga kerja selain pendapatan isi rumah yang bertambah baik.

 

Katanya, Bermaz Auto (Beli, TP: RM2.36), MBM Resources (beli, TP: RM4.28) and UMW (beli, TP:RM4.88) merupakan pilihan utama di dalam sektor itu.

 

"BAuto sedang dalam proses mengembangkan jenamanya menerusi pengambilalihan francais Kia dan Peugeot sekali gus mengetuai pertumbuhan di dalam industri.

 

"MBM Resources dan UMW merupakan proksi utama kepada pemulihan dan mengawal bahagian terbesar industri menerusi Perodua dan Toyota.

 

"Bagaimanapun, pemain sektor automotif berdepan cabaran termasuk peningkatan kadar inflasi, kemerosotan ekonomi global dan Ringgit Malaysia yang lebih lemah daripada jangkaan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, jualan kenderaan baharu melonjak 53% kepada 67,659 unit pada September 2022 berbanding 44,227 unit pada bulan sama tahun lalu.

 

Firma itu berkata, pengeluaran kenderaan bukan jenama nasional mencatatkan penguncupan pengeluaran bulan ke bulan.

 

Katanya, jumlah keseluruhan industri (TIV) Oktober 2022 dijangka kekal pada paras September 2022 kerana masalah berkaitan kekurangan cip dan komponen masih berlarutan untuk sesetengah jenama pengeluar. - DagangNews.com