KUALA LUMPUR 12 Sept - MIDF Research menjangkakan sasaran untuk menurunkan defisit fiskal kepada 3.5% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) hanya mampu dicapai selepas 2025.
Firma penyelidikan itu menganggarkan nisbah defisit kepada KDNK mungkin berada antara 4% kepada 4.5% menjelang 2025.
Katanya, pemberhentian Dana Khas Covid-19 seharusnya mengurangkan perbelanjaan kerajaan, perbelanjaan pembangunan fiskal besar yang berterusan sekitar RM90 bilion setiap tahun untuk baki tempoh Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) tidak akan diterjemahkan kepada penyatuan fiskal yang lebih cepat.
"Bagi kerajaan mencapai sasaran 3%, mereka memerlukan rangsangan yang lebih besar kepada hasil fiskal atau pengurangan dalam perbelanjaan mengurus untuk melihat pengurangan yang lebih cepat dalam saiz defisit fiskal," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
MIDF Research berkata, dengan komitmen untuk meningkatkan kedudukan fiskal dan kemampanan jangka panjang, kerajaan akan melihat cara untuk meluaskan asas hasil fiskalnya dan melihat semula keseluruhan perbelanjaan dan insentif fiskal.
BACA JUGA: Kerajaan tingkatkan kecekapan perbelanjaan, kurangkan ketirisan dan pembaziran - PM Anwar
Antara usaha untuk menambah baik kutipan cukai, kerajaan mempromosikan pengisytiharan cukai secara sukarela dan mempertimbangkan pengenalan e-invois.
Katanya, kerajaan juga sedang membangunkan Cukai Keuntungan Modal (CGT) sebagai cukai baharu yang akan dilaksanakan tahun depan.
"Terdapat juga kemungkinan pengenalan semula GST sebagai antara langkah untuk meningkatkan hasil fiskal.
"Dari segi rasionalisasi perbelanjaan, kerajaan menyebut tentang sistem subsisi bersasar," katanya.
Firma penyelidikan itu berkata, kerajaan menyatakan bahawa pengurusan fiskal akan ditadbir oleh Akta Kewangan Awam dan Akta Tanggungjawab Fiskal yang akan dibentangkan bulan depan.
Katanya, selain pemantauan rapi projek yang dibiayai kerajaan, kerajaan juga berhasrat menambah baik pengurusan fiskalnya dengan melihat keberkesanan perbelanjaan orang ramai mengkaji semula garis panduan untuk perkongsian awam-swasta (PPP) serta melihat semula semua insentif dan pengecualian cukai.
"Jawatankuasa Pengurusan Hutang juga akan diaktifkan semula untuk memantau dengan teliti hutang dan liabiliti kerajaan," katanya. - DagangNews.com