MIDF Research 'neutral' terhadap pengambilalihan tanah bagi perkembangan jangka panjang Hartalega | DagangNews Skip to main content

MIDF Research 'neutral' terhadap pengambilalihan tanah bagi perkembangan jangka panjang Hartalega

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 14 Dis - MIDF Research kekal 'neutral' dengan langkah pengambilalihan tanah dengan tujuan membantu perkembangan jangka panjang Hartalega Holdings Berhad.

 

Bagaimanapun, kumpulan itu tidak mendedahkan rancangan pembangunan yang akan dijalankan terhadap tanah itu dengan harga perolehan tanah RM20.78 lebih rendah berbanding RM21 sekaki persegi.

 

"Kesan terhadap kunci kira-kira kumpulan itu adalah minima selepas mengambil kira pegangan tunainya sebanyak RM1.78 bilion pada 2QFY23.

 

"Kami menganggarkan tunai bersih Hartalega menurun daripada RM1.78 bilion pada 2QFY23 kepada RM1.73 bilion selepas pengambilan tanah itu," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, kumpulan itu membeli tanah pada harga RM54.32 juta untuk rancangan pembesarannya.

 

Unit milik penuh Hartalega, Hartalega NSM Sdn. Bhd. (HNSM), menandatangani perjanjian dengan unit Northern Gateway Sdn Bhd (NGX) Northern Gateway Free Zone Sdn Bhd (NGFZ).

 

NGX yang dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan Inc merupakan pemaju induk Zon Ekonomi Sempadan Khas Delapan (Delapan SBEZ) berikutan kelulusan Pelan Pembangunan Induk Delapan oleh pihak berkuasa yang berkaitan pada 13 Januari 2019.

 

Firma itu tidak membuat sebarang perubahan terhadap unjuran pendapatan bagi FY23-FY25 kerana masih belum mendapat sebarang butiran mengenai rancangan pembesaran si SBEZ.

 

"Kami menyemak naik penarafan kumpulan itu kepada 'neutral' berbanding jual sebelum ini dengan harga sasaran (TP) RM1.68 sesaham," katanya.

 

Firma itu bagaimanapun kekal berhati-hati dengan prospek kumpulan kerana lebihan bekalan sarung tangan akan terus berlaku pada 2023 disebabkan pemasangan kapasiti yang agresif daripada pendatang sedia ada dan baharu semasa wabak, lebihan stok dalam industri dan pelarasan inventori seterusnya yang mengakibatkan dinamik permintaan-bekalan yang tidak sekata. - DagangNews.com